Tanah jerlus Masjid India: Kakitangan dari syarikat swasta tiba di lokasi

Madiha Abdullah
Ogos 31, 2024 11:58 MYT
Sekumpulan kakitangan dari sebuah syarikat penyedia penyelesaian tinjauan industri marin meliputi sektor minyak dan gas tiba pada jam 10 pagi untuk meyertai operasi SAR. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini yang ditangguh awal pagi tadi disambung semula hari ini.
Tinjauan Astro AWANI di lokasi setakat ini mendapati pasukan SAR sudah berada di lokasi kejadian dan kawasan sekitar bagi meneruskan operasi pencarian mangsa, namun belum ada sebarang pergerakan setakat ini.
Sekumpulan kakitangan dari sebuah syarikat penyedia penyelesaian tinjauan industri marin meliputi sektor minyak dan gas tiba pada jam 10 pagi tadi dan dilihat membuat perbincangan dengan pasukan bomba dan penyelamat.
Syarikat berkenaan menawarkan beberapa perkhidmatan seperti tinjauan hidrografi, tinjauan geofizik, siasatan geoteknikal dan 'positioning service'.
Semalam difahamkan sebuah kamera teleskopik digunakan oleh pasukan mencari dan menyelamat dalam usaha mengesan mangsa.
Menurut sumber, kamera tersebut menggabungkan teknologi push rod dan kamera crawler yang digunakan sebelum ini.
Penggunaan kamera itu dijangka akan dapat membantu pasukan SAR mendapatkan imej yang lebih jelas, terutamanya di lurang kedua di kawasan pencarian yang tersumbat.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata adalah terlalu berisiko untuk penyelam meneruskan operasi SAR.
#tanah jerlus #Masjid India #SAR #tinjauan industri marin