Tanah jerlus Masjid India: IWK akan buka semua injap pintu saluran kumbahan - Polis
Hasimi Muhamad
Ogos 23, 2024 01:00 MYT
Ogos 23, 2024 01:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pihak Indah Water Konsultiom (IWK) akan membuka semua pintu injap di dalam saluran kumbahan sepanjang tujuh kilometer (km) bagi meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh akibat tanah jerlus di Masjid India, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pasukan SAR telah melakukan pencarian 100 peratus di lokasi wanita itu terjatuh setakat tengah malam ini, namun belum berhasil menemukan mangsa.
Sehubungan itu katanya, operasi SAR terpaksa dihentikan sementara waktu dan bersambung semula pada 9 pagi Sabtu.
“Kita akan hentikan operasi ini sebabkan masa yang tidak sesuai dan hujan. Pasukan SAR perlu masuk ke dalam ini melalui saluran kumbahan.
“Mereka akan masuk ke dalam saluran IWK satu persatu dan kalau kita tengok saluran ini kumbahan (berakhir) di Pantai Dalam,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian pada tengah malam ini.
Jelas beliau, operasi SAR berdepan sedikit cabaran akibat arus deras di bawah tanah, gas dan air kumbahan yang mungkin memberi risiko kepada pasukan penyelamat.
Tambahnya, setakat ini sepasang selipar dipercayai milik mangsa telah ditemui terapung di lokasi kejadian.
“Kalau ikut masuk dalam saluran (kumbahan) kita ada kes dulu ia sampai tujuh jam.
“Pihak IWK pun akan berada di tempat berkenaan juka malam ini ada (penemuan). Saluran itu bukan senang nak mausk, kena buka satu-satu,” ujarnya lagi.
BERITA LANJUT MENYUSUL
#tanah jerlus masjid india
#IWK
#Indah Water Konsortium
#injap pintu saluran kumbahan
#Polis Kuala Lumpur