Tanah jerlus Masjid India: 'Isteri jerit minta tolong, sebelum dia senyap' - Suami

Sinar Harian
Ogos 23, 2024 16:21 MYT
Suami mangsa (duduk, kanan) sedang menunggu perkembangan operasi mencari dan menyelamat isterinya di hadapan Masjid India pada Jumaat. - Sumber foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: “Dia (mangsa) menjerit meminta tolong selepas terjatuh sebelum terus senyap tidak lama kemudian."
Demikian kata suami kepada wanita warga India yang terjatuh dan tertimbus susulan kejadian tanah jerlus di hadapan Masjid India dekat sini pada Jumaat.
Bagaimanapun lelaki berusia 40-an itu agak keberatan untuk menceritakan dengan lebih lanjut berhubung kejadian yang menimpa isterinya selain kesukaran untuk berkomunikasi.
Setakat jam 3 petang, usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang sudah masuk hampir tujuh jam diteruskan menggunakan jengkaut bagi membesarkan lubang benam terbabit untuk memudahkan tugas pasukan penyelamat.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan berkata, pihaknya masih dalam proses melengkapkan maklumat berkaitan kejadian terbabit dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.
Polis akan merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan, setakat ini pihaknya tidak boleh komen lebih terperinci kerana ia masih dalam siasatan.
Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan anggota bomba sedang giat melaksanakan kerja menyelamat di lokasi kejadian.
Menurutnya, setakat ini kawasan itu masih dianggap selamat bagaimanapun perbincangan lanjut akan diadakan bagi mempertimbangkan jika ada keperluan untuk menutup kawasan terbabit. - Sinar Harian
#tanah jerlus #Masjid India #identiti mangsa #kronologi kejadian