Tanah jerlus Masjid India: Hasil carian semula di lurang lima dan enam adalah negatif - JBPM

Hasimi Muhamad
Ogos 25, 2024 18:55 MYT
Dua lurang tersebut yang dibuat pencarian semula masing-masing adalah lima dan enam yang terletak berdekatan Agro Bank dan Bulatan Kinabalu. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh akibat tanah jerlus di Masjid India, di sini melibatkan dua lurang kumbahan tidak menemukan mangsa, setakat petang ini.

Ringkasan AI
  • Operasi SAR melibatkan dua lurang kumbahan tidak menemukan mangsa. Lurang-lurang ini terletak berdekatan Agro Bank dan Bulatan Kinabalu.
  • Pencarian semula di lurang lima dan enam dilakukan kerana arus air di kedua-dua lokasi tersebut agak perlahan. Kemungkinan tersumbat atau ada serpihan.
  • Setelah pencarian, kedua-dua lurang kumbahan dinyatakan negatif. Pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga melakukan carian di end point di Loji Pantai Dalam.

Dua lurang tersebut yang dibuat pencarian semula masing-masing adalah lima dan enam yang terletak berdekatan Agro Bank dan Bulatan Kinabalu.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat, pencarian semula di lurang lima dan enam dibuat kerana pihak SAR mendapati arus air di kedua-dua lokasi berkenaan agak perlahan.
“Kita buat carian semula sebab berdasarkan semalam kita dah habis semua enam ‘manhole’ dan kita dapati (lurang) lima dan enam ini arus (air) dia agak perlahan.
“Kemungkinan tersumbat ataupun ada serpihan.
“Sebab tu hari ini kita buat carian semula di ‘manhole’ lima dan enam untuk pastikan tiada apa-apa yang tersangkut.
“Kedua-dua lurang kumbahan itu telah selesai lebih kurang setengah jam tadi dan keputusannya negatif,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian pada Ahad.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Sharif.
[TERKINI] Sidang media bersama Datuk Bandar KL & OCPD Dang Wangi
Sementara itu, Maimunah berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengaktifkan ‘task force’ bersama pakar SAR dalam meneruskan pencarian mangsa yang berusia 48 tahun.
“Pasukan penyelamat di lapangan itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL); juga sedang menjalankan, selain di lurang lima dan enam, mereka juga membuat carian di ‘end point’ di Loji Pantai Dalam,” katanya lagi.
Beliau juga memaklumkan pihaknya bersama Kedutaan India akan menyediakan bantuan kepada keluarga mangsa termasuk penginapan dan kaunseling sepanjang operasi SAR digerakkan.
Pada kejadian pagi Jumaat, seorang mangsa warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarganya untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan kaki melalui kawasan berkenaan menuju ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian itu berlaku.
#tanah jerlus masjid india #operasi mencari dan menyelamat #JBPM #warga india #lurang #belum ditemui