Tanah jerlus Masjid India: Dua anggota skuba JBPM memasuki lurang kumbahan IWK
Faida Rahim
Ogos 25, 2024 17:08 MYT
Ogos 25, 2024 17:08 MYT
KUALA LUMPUR: Dua anggota skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memasuki lurang kumbahan di Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam, di sini secara berpasangan untuk pencarian mangsa tanah jerlus di Jalan masjid India.
Tinjauan Astro AWANI mendapati dua anggota penyelamat daripada Unit Skuba melakukan proses mencari dan menyelamat (SAR) mula memasuki lurang kumbahan pada jam 4.30 petang.
Kedua-dua anggota ditugaskan melakukan pencarian di lurang dengan dilengkapi peralatan perlindungan diri (PPE) susulan risiko gas beracun di lokasi bawah tanah.
Dalam pada itu, pagar utama Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam terus menjadi tumpuan orang ramai yang memberhentikan kereta untuk mengetahui perkembangan terkini mangsa insiden tanah jerlus di Masjid India.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata, enam anggota Unit Skuba JBPM menjalankan operasi pencarian di enam lurang kumbahan sekitar ibu negara sejak semalam.
Menurut beliau, anggota membuat pemeriksaan selama 20 minit bagi setiap kawasan lurang kumbahan kerana berhadapan cabaran iaitu ruang sempit, arus deras dan keadaan udara yang berisiko.
Operasi SAR membabitkan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Indah Water Konsortium (IWK).
Pada kejadian pagi Jumaat, seorang mangsa warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarganya untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan kaki melalui kawasan berkenaan menuju ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian itu berlaku.
#tanah jerlus masjid india
#anggota skuba JBPM
#IWK Pantai Dalam
#warga india
#operasi mencari dan menyelamat