Tanah jerlus Masjid India: DBKL pantau kawasan terlibat dengan teliti - PM Anwar

Bernama
Ogos 30, 2024 16:42 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Ramah Mesra bersama Masyarakat di Warung Nasi Kandar Masjid Kubang Semang di sini hari ini. - Foto Bernama
BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terus memantau dengan teliti kawasan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Beliau berkata selain itu kajian teknikal terhadap tanah jerlus di lokasi kejadian juga telah dibuat pihak berkaitan.
"Saya ada lalu kawasan itu, tiada masalah cuma kawasan yang dianggap perlu diperkukuhkan itu, akan dibuat segera, dan DBKL akan pantau secara teliti setiap hari," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kubang Semang, di sini.
Pada 23 Ogos, seorang wanita warga India dikenali sebagai G.Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.
Operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk kaedah jetting, flushing dan menyedut air keluar dari lokasi kejadian, dalam usaha mengesan mangsa.
-- BERNAMA
#tanah jerlus masjid india #Anwar Ibrahim #DBKL #pantau dengan teliti #masih selamat