KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan audit integriti bagi mencari punca tanah mendap dan jerlus di sekitar kawasan Masjid India.


Ringkasan AI
  • Kerajaan akan melaksanakan audit integriti untuk mencari punca tanah mendap dan jerlus di kawasan Masjid India.
  • Tumpuan kini diberikan kepada usaha mencari dan menyelamat mangsa tanah jerlus minggu lalu.
  • Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan memanggil pihak terlibat untuk memastikan tragedi ini tidak berulang dan yakin dengan kemampuan pakar tempatan untuk operasi mencari dan menyelamat.


Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, buat masa ini, tumpuan akan terus diberikan kepada usaha mencari dan menyelamat mangsa tanah jerlus minggu lalu.

“Saya akan memanggil keseluruhan pihak yang terlibat termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak utiliti untuk kita lihat apa saja utiliti serta keseluruhan sistem saliran kita yang ada di bawah tanah ini bagi tujuan post-mortem.

“Kita akan melihat bagaimana kita boleh pastikan di masa depan, tragedi seumpama ini tidak lagi berulang,” katanya.

Jelasnya, terdapat pembangunan baharu yang perlu dilihat semula bagi memastikan ia tidak mendatangkan masalah.

Tambahnya, beliau yakin dengan kemampuan pakar tempatan dan tidak melihat keperluan mendapatkan khidmat pasukan luar untuk membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Usaha mencari mangsa tanah jerlus itu masih diteruskan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat tapak kejadian tanah jerlus yang menyebabkan seorang wanita warga India terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India, pada Rabu.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa.