Tanah jerlus Masjid India: Anak sahkan wajah mangsa
Umavathi Ramayah
Ogos 26, 2024 20:45 MYT
Ogos 26, 2024 20:45 MYT
KUALA LUMPUR : Anak lelaki mangsa kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Surya, mengesahkan kesahihan wajah ibunya, Vijayaletchumy, 48.
“Ya, betul, itu ibu saya,” katanya ringkas ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Isnin.
Wartawan: Ini gambar ibu kamu?
Surya: Ya betul.
Wartawan: Kamu boleh cakap (bahasa) Tamil?
Surya: Boleh, sikit-sikit (sambil mengangguk)
Melihat raut wajah jejaka berusia 20-an itu, dia kelihatan lebih tenang dan emosinya stabil berbanding hari pertama kejadian.
Setakat pukul 8 malam, Surya masih lagi menunggu di perkarangan lokasi kejadian untuk mengetahui perkembangan semasa dan sangat mengharapkan agar ibunya dapat ditemukan dalam masa terdekat.
Pada kejadian pagi Jumaat, seorang mangsa warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini.
Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarganya untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan kaki melalui kawasan berkenaan menuju ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian itu berlaku.