Tanah jerlus Masjid India: Anak mangsa rayu selamatkan ibu

Bernama
Ogos 23, 2024 06:30 MYT
Wartawan mewawancara ahli keluarga wanita warga India yang menjadi mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di lokasi kejadian, pada Jumaat. - Gambar Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR: "Tolong selamatkan ibu saya," itu rintihan anak lelaki sulung wanita warga India yang menjadi mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, pagi Jumaat sebaik tiba di lokasi kejadian.
Difahamkan, lelaki berusia 26 tahun dikenali sebagai Surya itu baru tiba ke negara ini dari Thailand serta terus bergegas ke lokasi kejadian pada kira-kira 9.30 malam tadi untuk melihat sendiri usaha pencarian ibunya.
Dia yang memakai baju putih berkotak hitam dilihat gagal menahan kesedihan dan terpaksa ditenangkan oleh beberapa ahli keluarga serta kenalannya yang berada di situ.
Terdahulu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Shariff yang melawat lokasi kejadian sempat berbual bersama suami mangsa dengan bantuan jurubahasa.
Pada sidang media malam tadi, Maimunah memaklumkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedia membantu sebarang keperluan keluarga itu semasa mereka berada di negara ini sepanjang operasi pencarian dilakukan.
Mangsa, yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Andhra, Kuppam dan keluarganya dijadualkan pulang ke India esok selepas dua bulan melancong di negara ini.
Dalam insiden 8.20 pagi itu, mangsa sedang berjalan di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India sebelum tiba-tiba terjerlus ke lubang sedalam lapan meter. - BERNAMA
#tanah jerlus #Masjid India #Malayan Mansion #anak mangsa
;