Tanah jerlus Masjid India: Ahli keluarga mangsa sugul, setia menanti di lokasi

Faida Rahim
Ogos 24, 2024 14:10 MYT
Orang ramai melihat keadaan sekitar kawasan operasi pencarian warga India yang menjadi mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Ahli keluarga wanita warga India yang masih hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semalam, terus setia menanti di lokasi kejadian hari ini.
Empat ahli keluarga kelihatan duduk berhampiran lokasi kejadian untuk mengikuti dengan rapat usaha pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengesan wanita berkenaan.
Mereka dilihat berada dalam keadaan sugul dan sesekali mengalirkan air mata.
Pada masa sama, orang ramai mumemenuhi lokasi berkenaan selain kawalan mula diperketatkan dengan beberapa anggota polis ditempatkan di laluan masuk.
Operasi SAR disambung semula jam 9 pagi tadi selepas ditangguhkan sementara pada 12.30 tengah malam tadi.
Usaha pencarian yang dilakukan sejak semalam sehingga kini belum membuahkan hasil.
Pasukan SAR turut berdepan cabaran antaranya arus deras serta air kumbahan selain gas bawah tanah yang boleh membahayakan mereka.
Mangsa yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikatakan melancong ke negara ini bersama beberapa ahli keluarganya sejak dua bulan lalu dan sepatutnya pulang ke negara asalnya semalam.
#tanah jerlus masjid india #ahli keluarga #operasi sar #perkembangan terkini
;