Empat ahli keluarga kelihatan duduk berhampiran lokasi kejadian untuk mengikuti dengan rapat usaha pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengesan wanita berkenaan.
Mereka dilihat berada dalam keadaan sugul dan sesekali mengalirkan air mata.
Pada masa sama, orang ramai mumemenuhi lokasi berkenaan selain kawalan mula diperketatkan dengan beberapa anggota polis ditempatkan di laluan masuk.
Operasi SAR disambung semula jam 9 pagi tadi selepas ditangguhkan sementara pada 12.30 tengah malam tadi.
Usaha pencarian yang dilakukan sejak semalam sehingga kini belum membuahkan hasil.
Pasukan SAR turut berdepan cabaran antaranya arus deras serta air kumbahan selain gas bawah tanah yang boleh membahayakan mereka.
Mangsa yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikatakan melancong ke negara ini bersama beberapa ahli keluarganya sejak dua bulan lalu dan sepatutnya pulang ke negara asalnya semalam.