Tanah jerlus: KL tempat paling tak selamat? Datuk Bandar beri penjelasan

Hasimi Muhamad
Ogos 25, 2024 19:30 MYT
Maimunah berkata jika ada pihak yang mengatakan perkara sebaliknya, ia perlu diserta bersama bukti dan kajian terperinci berhubung dakwaan berkenaan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa Kuala Lumpur adalah lokasi tidak selamat dan berpotensi berlaku “giant sinkhole” seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar.

Ringkasan AI
  • Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Sharif, menafikan dakwaan yang tular dan menegaskan bahawa keadaan di ibu negara adalah selamat kerana telah dibangunkan sejak lama.
  • Beliau menekankan bahawa jika ada pihak yang mengatakan sebaliknya, mereka perlu menyertakan bukti dan kajian terperinci untuk menguatkan dakwaan tersebut.
  • Pihak berkuasa termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang mengkaji aspek keselamatan di Kuala Lumpur untuk memastikan keadaan masih selamat.

Penafian tersebut dibuat oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Sharif, dengan menegaskan keadaan di ibu negara adalah selamat kerana ia telah dibangunkan sejak sekian lama.
Beliau menambah, jika ada pihak yang mengatakan perkara sebaliknya, ia perlu diserta bersama bukti dan kajian terperinci berhubung dakwaan berkenaan.
“Saya berpendapat Kuala Lumpur ini pun sudah lama dibina dan dalam tempoh itu ia adalah selamat.
“Oleh itu kalau nak mengatakan tidak selamat mestilah ada menunjukkan bukti-bukti dan kajian-kajian yang terperinci,” ujarnya dalam sidang media di lokasi kejadian pada Ahad.
Kuala Lumpur masih selamat, jelas Datuk Bandar KL
Hadir sama Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat.
Mengulas lanjut, Maimunah berkata sehubungan itu pihaknya telah menubuhkan ‘task force’ termasuk bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat kepada aspek keselamatan di ibu negara.
“… untuk melihat ataupun mengkaji keadaan sebab kalau dilihat dari segi sedia ada, pada pendapat saya adalah Kuala Lumpur ini masih selamat.
“Ya, melainkan kalau ada kajian yang menunjukkan bukti-bukti kajian,” ujarnya lagi.
Terdahulu, tular di media sosial Facebook satu kemas kini mendakwa tempat yang paling tidak selamat di Malaysia adalah Kuala Lumpur, yang berpotensi berlaku ‘giant sinkhole’ pada bila-bila masa.
#tanah jerlus masjid india #Kuala Lumpur selamat #Datuk Bandar Kuala Lumpur #Maimunah Sharif #giant sinkhole