Tanah jerlus Jalan Masjid India: Punca antaranya aktiviti manusia, laporan teknikal tiga bulan - NRES

Hasimi Muhamad
September 7, 2024 13:00 MYT
Pada 23 Ogos lalu seorang wanita berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India. - Foto/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid, di sini baru-baru ini yang menyebabkan wanita warga India, G Vijaya Lakshmi hilang dikesan berpunca daripada beberapa faktor.

Ringkasan AI
  • Punca Kejadian: Kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India yang menyebabkan kehilangan wanita warga India disebabkan oleh beberapa faktor termasuk aktiviti manusia, cuaca, dan hakisan lapisan tanah tambak di bawah permukaan.
  • Siasatan dan Tindakan: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sedang menjalankan siasatan menggunakan peralatan Ground Penetration Radar (GPR) untuk mendapatkan gambaran strata geologi dan sistem utiliti bawah permukaan. Laporan teknikal akan disediakan dalam masa tiga bulan oleh Task Force Struktur Tanah Masjid India yang diterajui DBKL.
  • Keselamatan dan Langkah Pencegahan: NRES menegaskan bahawa Kuala Lumpur masih selamat untuk dihuni dan sedang menambah baik data bawah permukaan melalui Projek Pemetaan Geologi Sub-permukaan Greater KL.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) hasil siasatan pelbagai agensi mendapati ia antaranya disebabkan aktiviti manusia, cuaca dan hakisan lapisan tanah tambak di bawah permukaan.
Jelas kementerian itu, satu laporan teknikal hasil siasatan berkaitan geologi dan struktur bawah permukaan akan disediakan oleh Task Force Struktur Tanah Masjid India yang diterajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam jangka masa tiga bulan.
"Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah membantu dalam siasatan bawah permukaan kawasan kejadian tanah jerlus di kawasan Masjid India yang melibatkan seorang wanita warga India.
"Siasatan JMG telah menggunakan peralatan Ground Penetration Radar (GPR) bagi mendapatkan gambaran strata geologi dan sistem utiliti bawah permukaan kawasan kejadian bagi tujuan proses pemulihan menyeluruh oleh pihak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, kementerian itu dalam masa sama menegaskan Kuala Lumpur juga adalah selamat untuk dihuni.
Manakala dari segi geologi, NRES menjelaskan batuan dasar di Kuala Lumpur didasari oleh sejumlah anggaran 30 peratus batu kapur dan 70 peratus terdiri daripada batuan granit dan batuan metasedimen iaitu Formasi Kenny Hill, Syis Hawthornden dan Syis Dinding.
Manakala, kawasan tanah jerlus adalah didasari oleh batuan syis, filit dan kuarzit Formasi Kenny Hill.
"Walau bagaimanapun, pemantapan terhadap aspek pemantauan, penyelenggaraan, prosedur dan kaedah penyiasatan bawah permukaan meliputi struktur binaan bawah tanah dapat mengenal pasti dan mengelak sebarang ancaman tanah jerlus dan lubang benam yang mungkin berlaku.
"NRES melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) juga sedang menambah baik data bawah permukaan kawasan Lembah Klang yang meliputi 10 buah Pihak Berkuasa Tempatan melalui Projek Pemetaan Geologi Sub-permukaan Greater KL bagi melengkapkan lagi maklumat sedia ada bawah permukaan Kuala Lumpur yang telah dijalankan di bawah projek 3DKL," tambah NRES lagi.
Sehubungan itu, NRES menasihatkan orang awam agar tidak percaya dengan sebarang spekulasi yang dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab mengenai keadaan keselamatan bawah permukaan Kuala Lumpur serta perlu mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak berautoriti dalam sebarang kejadian bencana geologi.
NRES juga menegaskan sekiranya terdapat tanda-tanda berlakunya ancaman bencana geologi, orang awam boleh menghubungi JMG atau pihak berkuasa yang berkaitan untuk membuat laporan serta mendapatkan bantuan.
Pada 23 Ogos lalu wanita berusia 48 tahun berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India itu hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.
Sembilan hari kemudian, selepas mendapat pandangan daripada sudut pakar, kerajaan memutuskan untuk menamatkan operasi SAR selama sembilan hari yang bermula pada Ogos 23.
#Tanah jerlus Jalan Masjid India #punca tanah jerlus #Kuala Lumpur selamat
;