Tinjauan Astro AWANI mendapati penghadang jalan yang diletakkan pada jarak 100 meter bermula Pondok Polis Masjid India sehingga lokasi kejadian belum dialihkan sepenuhnya.
Malah anggota polis juga masih lagi berada di kawasan itu untuk tugas pengawasan keselamatan.
Orang ramai dibenarkan memasuki kawasan itu namun dihadkan di tepi laluan deretan premis perniagaan dan dilarang melintas lokasi tanah jerlus yang masih ditutup dengan pita kuning .
Sementara itu, empat khemah kawalan polis yang didirikan sejak awal kejadian juga tidak dialihkan.
Selain itu, pasukan kakitangan Indah Water Konsortium (IWK) juga kelihatan di tempat kejadian.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, dua hingga tiga anggota masih ditempatkan di kawasan kejadian bagi mengawasi pergerakan orang ramai.
Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi, 48, berasal dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.
Pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memaklumkan kerajaan memutuskan untuk menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India itu yang memasuki hari sembilan.
Beliau menjelaskan, keputusan itu diambil selepas kerajaan mengambil kira isu keselamatan membabitkan pasukan SAR, orang ramai dan kawasan sekitar