Tanah jerlus di Jalan Masjid India, seorang mangsa dikesan

Astro Awani
Ogos 23, 2024 11:50 MYT
Anggota bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat di hadapan Masjid India, Kuala Lumpur susulan seorang wanita warga India dikesan terperangkap dalam kejadian tanah jerlus pagi ini. - Foto JBPM KL
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warganegara India dikesan terperangkap dalam kejadian tanah jerlus di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India di sini pagi ini.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Riduan Akhyar, berkata Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 pagi.
"Pasukan seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian. Keluaran pasukan operasi daripada BBP Titiwangsa serta bantuan dari BBP Hang Tuah bersama jentera FRT-2 dan RIM-2 dengan
kekuatan 15 anggota lain-lain pangkat sebagai ‘first responder’ untuk menangani insiden kecemasan.
"Setibanya pasukan di lokasi kejadian benar terdapat seorang mangsa wanita dewasa warganegara India berumur 48 tahun terjerlus ke dalam lubang dan tertimbus di bawah tanah.
"Kedalaman lubang dianggarkan lapan meter. Tindakan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan. Unit STORM dan Unit Pengesan (K9) berada di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
#tanah jerlus #mangsa terperangkap #JBPM #Masjid India