Tanah jerlus: Audit keselamatan dalam tempoh tiga tahun

Sinar Harian
September 2, 2024 09:45 MYT
LEE: Memahami keadaan tanah dan batuan asas akan membantu untuk meramal dan mencegah insiden tanah jerlus pada masa hadapan serta risiko kejadian di tempat bahaya yang lain. - Gambar fail
SHAH ALAM: Satu audit keselamatan wajib dilakukan oleh pihak berkuasa sekurang-kurangnya dalam tempoh dua atau tiga tahun bagi memastikan semua pembangunan infrastruktur dalam keadaan selamat untuk penggunaan orang ramai.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, menerusi audit keselamatan itu perkara yang perlu diberi perhatian adalah bahagian bawah tanah.
Menurutnya, langkah keselamatan yang menyeluruh perlu melibatkan tinjauan geologi yang telah dikemas kini dari masa ke masa.
"Penilaian geologi menyeluruh terhadap kawasan yang terjejas amat diperlukan untuk mengenal pasti potensi risiko yang bakal berlaku.
"Memahami keadaan tanah dan batuan asas pula akan membantu untuk meramal dan mencegah insiden tanah jerlus pada masa hadapan serta risiko kejadian di tempat bahaya yang lain," ujarnya pada Ahad.
Tambah Lam Thye, sebagai persediaan amat penting untuk mempunyai sistem pemantauan masa yang realistik dan mampu menjejaki perubahan kestabilan tanah serta paras air.
Jelasnya, teknologi seperti radar penembusan tanah perlu ada kerana Jabatan Mineral dan Geosains telah pun memulakan penggunaan teknologi di Jalan Masjid India.
"Pengesan itu boleh memberikan tanda amaran awal tentang tindak balas yang wujud di bawah permukaan.
"Kita harus sentiasa menyemak dan menaik taraf sistem perparitan sedia ada, elemen infrastruktur lain yang mungkin menyumbang kepada ketidakstabilan tanah selain memastikan pembinaan mengikut piawaian kejuruteraan moden.
"Selain itu mengenai projek pembangunan pada masa akan datang, Penilaian Kesan Alam Sekitar penting untuk dilakukan bagi mengelakkan perkara yang mempunyai risiko tinggi berlaku," ujarnya. - Sinar Harian
#tanah jerlus masjid india #audit keselamatan #Lee Lam Thye #penilaian geologi
;