Tanah jerlus:'150 anggota SAR setiap hari, kita sudah buat yang terbaik' - Bomba

Sinar Harian
September 2, 2024 16:15 MYT
Secara purata seramai 150 anggota penyelamat ditugaskan setiap hari dalam operasi itu. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: "Sepanjang tempoh sembilan hari operasi SAR itu, kita telah buat yang terbaik."
Demikian kata Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat memaklumkan berkaitan tugas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Rozihan Anwar berkata, secara purata seramai 150 anggota penyelamat ditugaskan setiap hari dalam operasi itu.
"Terima kasih kepada semua pasukan penyelamat yang terlibat," katanya dalam program Malaysia Hari Ini, pada Isnin.
Mengulas lanjut Rozihan Anwar berkata, cabaran bermula pada hari kedua apabila insiden tanah jerlus itu mendapat liputan dunia khususnya di India.
"Kita perlu lihat pelbagai aspek, strategi dan taktikal yang diatur dalam operasi SAR berkenaan supaya tindakan diambil itu tidak dipertikaikan.
"Pasukan penyelamat turut membuat perbincangan teliti pada setiap malam sebelum kita memulakan operasi pada keesokan hari," katanya.
Beliau berkata, selain itu, cabaran besar adalah 'golden time' dalam operasi SAR tersebut.
"'Golden time' iaitu dalam tempoh 24 jam operasi itu, kita hanya ada dua jam untuk memaksimumkan operasi SAR bermula jam 2 pagi hingga 4 pagi.
"Pada jam 2 pagi, paras air dalam saluran mula menurun, sejam kemudian paras air terendah, paras air mula naik pada jam 4 pagi," katanya.
Pada Jumaat, media melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) merumuskan operasi SAR dengan kaedah penyelaman adalah terlalu berisiko.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, perkara itu dirumuskan selepas selaman oleh dua penyelam skuba pada jam 4 pagi tidak berhasil.
Beliau dilaporkan berkata, antara faktor risiko yang dikenal pasti ialah aliran air bawah tanah yang deras, ruang yang sempit untuk pasukan penyelamat dan sisa-sisa sampah serta 'backlog' yang keras di kawasan carian.
Pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan operasi SAR yang memasuki hari kesembilan ditamatkan serta-merta atas faktor keselamatan semua pihak.
Dalam insiden pada 23 Ogos lalu, mangsa iaitu G Vijaya Lakshmi, 48, hilang dalam tanah jerlus semasa berjalan kaki di lokasi terbabit. - Sinar Harian
#tanah jerlus #Masjid India #operasi sar #rumusan operasi
;