Tanah di kaki Gunung Dulang diteroka, sisa racun mengalir ke sungai

Tan Su Lin
April 11, 2016 08:03 MYT
Kesan asap dari longgokan kayu yang masih berbara menunjukkan ia baru diteroka. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Jauh di pedalaman, di kaki Gunung Dulang, Ulu Tembeling, aktiviti penerokaan sedang giat dijalankan.
Dianggarkan kira-kira 2,000 ekar tanah menjadi hamparan aktiviti penebangan dan seterusnya dibakar untuk tujuan perladangan.
Kesan asap dari longgokan kayu yang masih berbara menunjukkan ia baru diteroka.
Segenap pemandangan 360 darjah dari lokasi di mana saya berdiri, apa yang dapat saya lihat kesan penerokaan di kawasan yang dahulunya hijau dan melitupi kawasan pergunungan.
Pada jarak kira-kira 100 meter, kelihatan beberapa petak semaian benih pokok kelapa sawit yang sedang menunggu masa sebelum ia matang dan dipindahkan ke kawasan yang baru diteroka itu.
Pengerusi Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Pahang, Khaidir Ahmad, mempersoalkan mengapa aktiviti penerokaan terbabit dilakukan di kawasan tadahan air semula jadi yang berisiko mengundang masalah pencemaran yang serius kepada sungai.
"Apabila kawasan ini dimajukan sebagai ladang sawit, jadi sisa baja dan racun yang digunakan dalam projek perladangan ini pastinya akan mengalir ke dalam Sungai Tembeling iaitu di hulu Sungai Pahang dan mencemari sungai.
"Kita sepatutnya belajar daripada kesilapan di Cameron Highlands. Di hulu Sungai Jelai dan menuju Sungai Pahang sekarang memang sudah rosak sepenuhnya kerana pencemaran sisa racun dan baja yang masuk ke Sungai Jelai."
"Jadi Sungai Jelai sudah rosak, kalau Sungai Tembeling juga rosak, maka habislah Sungai Pahang," katanya.
Tadahan air
Gunung Dulang merupakan kawasan tadahan air utama bagi Sungai Tembeling yang bertemu dengan Sungai Jelai dan mengalir ke Sungai Pahang.
Akibat penerokaan dan pembalakan di kawasan tadahan air di Ulu tembeling, kesannya mula dirasai penduduk.
Bagi penduduk yang bergantung kepada air bukit, mereka kini tiada pilihan kecuali bergantung kepada sungai yang tercemar.
Antara mereka yang terjejas adalah, Wan Naida Wan Su, 64, yang mendakwa sudah tiga minggu rumahnya tidak mempunyai bekalan air.
"Dulu air jernih, air tinggi. Molek. Sekarang air dah cetek.
"Dekat hulu sungai memang ada air, tetapi air ini kadang-kadang tak boleh guna.. (kerana) air (berwarna) hitam," katanya.
Kira-kira tiga buah perkampungan di Mat Daling melibatkan 30 buah rumah masih menggunakan sistem tekanan air bukit.
Ia termasuk Kampung Tanah Mindah, Kampung Bukit Geruh dan Kampung Sungai Kembir yang terletak di lereng bukit.
Menurut Wan Mohamed Razali Wan Aman, 50, sebelum ini, perbezaan ketara dalam tekanan air biarpun hanya beberapa rumah sahaja yang menggunakan air bukit.
"Dulu 200 buah rumah di kampung ini bergantung kepada satu paip utama untuk air. Sekarang kita hanya tinggal 19 buah rumah sahaja yang menggunakan paip sama, tetapi air tidak boleh sampai.
"Bukannya banyak rumah. Dulu dekat 200 rumah pun tidak ada masalah menggunakan paip yang sama. Sekarang tekanan air tidak mencukupi sebab air tak ada," katanya.
Penduduk mendakwa aktiviti pembalakan antara punca air semakin kering dan tercemar.
"Penerokaan ini yang ketara yang kita nampak sebab dalam sebulan panas sahaja, apabila hari panas sikit, air sudah kering," katanya.
Kini mereka tiada pilihan kecuali mengangkut air dari sungai berhampiran.
"Kalau tak ada air, saya nak turun naik tebing ini. Ya Allah.. Tuhan saja tahu.. berapa kali berhenti tak boleh tahan naik bukit.. sampai termuntah-muntah," kata Wan Naida yang tinggal berseorangan bersama suaminya yang sakit.
Harapan mereka, air yang menjadi keperluan asas dikembalikan kepada mereka.
"Dia nak teroka itu hak dia. Tetapi air.. kita minta dia laksanakan apa cara sekalipun," katanya.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Ini adalah siri ketiga laporan khas "Kerakusan Manusia Musnahkan Sungai Tembeling."
**Ikuti siri keempat laporan ini mengenai laluan utama Kampung Mat Daling yang hampir lumpuh akibat sungai cetek.
#Gunung Dulang #Jerantut #pembalakan #Ulu Tembeling
;