Tanabalan tiba di Madinah selepas 40 hari kembara motosikal

Sinar Harian
April 28, 2024 18:45 MYT
Tanabalan selamat tiba di Madinah pada Sabtu selepas memulakan kembara pada 20 Mac lepas.
KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia bukan Islam, P Tanabalan, 37, yang menyertai kembara motosikal ke Makkah bersama 18 individu lain sejak 20 Mac lalu berjaya tiba di Madinah pada Sabtu selepas 40 hari ekspedisi itu.
Pemuda yang bertugas sebagai pembaca meter Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu berkata, dia amat gembira menyertai Jelajah Silaturahim tersebut walaupun baru kali pertama mencuba bagi jarak perjalanan yang jauh.
"Selamat sampai di Madinah dengan motosikal, ini matlamat utama saya menyertai Jelajah Silaturahim.
"Saya berjaya lakukannya, ramai saudara Islam dan rakan-rakan membantu dari segi kewangan untuk melancarkan perjalanan. Terima kasih kepada semua yang membantu," katanya kepada Sinar Harian.
Tanabalan berkata, dia memang aktif menunggang motosikal sejak 10 tahun lalu secara solo dan berkumpulan ke Sabah, Sarawak, Brunei, Indonesia (Kalimantan), Thailand, Laos, Vietnam dan Kemboja.
Bagaimanapun katanya, ini merupakan kembara paling jauh dan mempunyai cabaran tersendiri namun menyeronokkan.
"Ada lokasi tidak dibenarkan orang bukan Islam masuk, saya tidak akan pergi.
"Macam kembara ini sepatutnya ke Makkah tapi saya hanya mengikutinya sampai di Madinah bagi melihat bangunan dan budaya masyarakat Arab," katanya.
Pada 30 September 2019, Sinar Harian melaporkan Arab Saudi meraikan visa pelancong untuk semua pelawat dari seluruh dunia.
Pengerusi Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Saudi (SCTH), Ahmad Aqil Al-Khatib berkata, pihaknya mengalu-alukan pelancong kerana menjadi sumber pendapatan utama dan mesin bagi mewujudkan banyak pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Visa pelancong juga tidak mengecualikan mana-mana agama atau kepercayaan dan pelancong boleh melakukan lawatan berganda sepanjang tahun dengan syarat setiap lawatan tidak melebihi 90 hari.
Tanabalan yang menunggang motosikal jenama Honda RS 150cc berkata, dia suka menjelajah dunia bagi mencari pengalaman hidup dan menambah ilmu pengetahuan.
Menurutnya, misi jelajah negara yang dilakukan tidak memandang perbezaan agama sebagai halangan kerana dia sangat menghormati peraturan di semua tempat.
"Sebelum ini saya juga sudah biasa melawat tempat ibadah agama lain seperti masjid, gereja dan tokong Buddha untuk melihat tempatnya bagi menambah pengetahuan kerana kita hidup di Malaysia berbilang kaum serta agama yang saling menghormati," katanya. - Sinar Harian
#Tanabalan #bukan Islam #Madinah #kembara motosikal
;