Tan Sri Zaman Khan meninggal dunia
Astro Awani
September 11, 2021 11:20 MYT
September 11, 2021 11:20 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan meninggal dunia pada jam 10.15 pagi ini.
Difahamkan jenazah akan dibawa ke Masjid Bukit Aman di ibu negara untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar.
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh Pengerusi dan Pemandu MPM, Tun Mohamed Hanif Omar
Sebelum ini Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal bulan lepas selepas dilaporkan pengsan ketika menunggu janji temu dengan doktor.
Allahyarham juga pernah menjalani rawatan di hospital yang sama pada Januari tahun lalu susulan mengalami pendarahan dalam usus.
Sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman, Allahyarham terbabit dalam kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu, yang dikenali sebagai Bentong Kali.
Allahyarham juga antara pegawai kanan polis yang terawal di lokasi kejadian tragedi kondominium Highland Towers pada 1993.
Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Penjara pada 1997.