Tan Sri Zaleha Ismail meninggal dunia
Astro Awani
November 14, 2020 23:07 MYT
November 14, 2020 23:07 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat Tan Sri Zaleha Ismail, 84, yang juga veteran UMNO meninggal dunia di Hospital Tawakkal, Kuala Lumpur malam ini.
Difahamkan, Allahyarhamah yang menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.34 malam itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ibu Kota jam 10 pagi esok (Ahad).
Sementara itu, Bernama melaporkan adik ipar Allahyarhamah ketika dihubungi mengesahkan beliau meninggal dunia akibat masalah kesihatan.
Allahyarhamah mula menyertai UMNO pada 1968 sebagai ahli biasa hingga jawatan tertingginya sebagai Ahli Majlis Tertinggi.
Allahyarhamah terlibat dalam politik selama 30 tahun dan mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1978 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Selangor.
Dari tahun 1987 hingga 1995, Allahyarhamah menjadi Ahli Parlimen Gombak dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan.
Selepas memenangi PRU 1995, Allahyarhamah dilantik sebagai Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat.
Sebelum aktif dalam politik, Allahyarhamah pernah bertugas di Radio Malaya sebagai pembantu rancangan dan Pegawai Ensiklopedia di Dewan Bahasa dan Pustaka.