Tan Sri Zainuddin, perginya seorang pejuang karya dan bahasa
Fareez Azman
Disember 15, 2018 12:20 MYT
Disember 15, 2018 12:20 MYT
“Kehilangan seorang penulis dan bekas menteri yang memperjuangkan karya seni tanah air.”
Itu jelas Datuk Yusuf Haslam, pengarah filem tanah air, mengenang jasa dan sumbangan bekas menteri penerangan Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin.
Tambahnya, selain menyandang jawatan menteri, Allahyarham sangat rapat dan sering menyuntik semangat kepada penggiat seni.
“Saya kenal arwah bukan baru, dari umur saya 20 tahun, masa dia jadi wartawan. Hubungan saya sebelum (dia) jadi menteri, sebagai abang.
"Banyak dia beri sokongan kepada penggiat industri, termasuk saya, bagi perjuangan seni,” katanya.
Ujarnya, pertemuan beberapa bulan lalu atas undangan Allahyarham di sebuah restoran di Putrajaya bersama 20 rakan lain merupakan pertemuan terakhir.
“Lebih kurang 20 orang (hadir). Beberapa orang artis, tak termasuk kawan rapat arwah. Saya fikir, mungkin dia nak jumpa saja, rupanya perjumpaan terakhir.
"Ini satu kehilangan. Beliau pejuang bahasa dan Utusan Melayu," tambah Yusuf.
Bagi Sasterawan Negara A Samad Said, pemergian Allahyarham ibarat perginya seorang permata seni.
“Dia membuka ruang kepada penulis-penulis secara tidak nampak. Dia beri ruangan dalam bidang drama. Saya fikir ramai muncul dari situ. Itu satu sumbangan luar biasa pada saya.
"Cita-citanya untuk memperkembangkan seni melalui drama Melayu nampak jelas,” tambahnya.
Jenazah Zainuddin selamat dikebumikan jam 9.50 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate.
Terdahulu, jenazah tiba di Surau At-Tarbiah Taman Melawati jam 8.40 pagi dan disembahyangkan oleh kira-kira 100 jemaah.
Antara yang turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan Tan Sri Noor Mohamed Yakcop, bekas menteri penerangan Tan Sri Khalid Yunus dan bekas wartawan Utusan, Tan Sri Johan Jaaffar.