Tan Sri Pandikar Amin Mulia dilantik semula
Harris Hardy Hakim
Jun 24, 2013 13:12 MYT
Jun 24, 2013 13:12 MYT
Tan Sri Pandikar Amin Mulia dilantik semula sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk sidang parlimen ke 13 penggal pertama.
Perlantikan beliau disahkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosmee Hamzah selepas berjaya memperolehi 133 undian.
Proses Undian Bersurat terpaksa dijalankan berikutan terdapat dua nama dicalon sebagai Speaker Dewan.
Pandikar yang mewakili kerajaan dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan disokong Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Manakala pembangkang menamakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Kadir Sulaiman sebagai calon Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Abdul Kadir bagaimanapun hanya memperolehi 89 undian.
Proses undian berjalan dengan lancar walaupun terdapat segelintir ahli parlimen mempertikaikan format kertas undian yang digunakan.
Rosmee menegaskan format kertas undian menepati syarat yang ditetapkan dalam peraturan mesyuarat dan proses undian itu bukanlah yang pertama kali dijalankan.