Tan Sri Jamaludin Ibrahim dilantik Pengerusi Kumpulan Prasarana yang baharu

Fareez Azman
Julai 1, 2021 10:43 MYT
Tan Sri Jamaludin Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang baharu berkuat kuasa 15 Julai 2021. - Foto ihsan Prasarana
KUALA LUMPUR: Bekas Presiden and Ketua Eksekutif Kumpulan Axiata Group Berhad (Axiata), Tan Sri Jamaludin Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang baharu berkuat kuasa 15 Julai 2021.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media Prasarana pada Khamis.
Turut dilantik ialah Mohd Azharuddin Mat Sah sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Berhad.
"Lembaga Pengarah dan Barisan Kepimpinan Kanan Kumpulan Prasarana mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Jamaludin dan Encik Mohd Azharuddin.
"Pengalaman luas yang dimiliki oleh kedua-dua tokoh dalam menerajui syarikat-syarikat besar dari segi operasi dan pentadbiran, serta penglibatan mereka di dalam merangka polisi dan inisiatif bagi sektor awam.
"Ia adalah satu kelebihan besar buat Prasarana dalam meneruskan agendanya untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam khususnya dalam berhadapan dengan cabaran penularan pandemik COVID-19," jelas kenyataan itu.
Tan Sri Jamaluddin dilantik sebagai Ahli Majlis Tindakan Ekonomi dan Ahli Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.
Beliau sebelum ini merupakan antara tulang belakang transformasi Axiata daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada syarikat gergasi telekomunikasi di rantau Asia.
#GLC #Asia #Malaysia #Kumpulan Prasarana Berhad #pandemik #pelantikan #ekonomi #prasarana #pucuk pimpinan