Tan Sri Ibrahim Saad banyak jasa dalam pembangunan bola sepak - Presiden FAM
Hasimi Muhamad
November 16, 2024 13:30 MYT
November 16, 2024 13:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pemergian Tan Sri Ibrahim Saad yang meninggal dunia pada petang Jumaat disifatkan sebagai kehilangan besar kepada industri sukan khususnya bola sepak.
Presiden Persatuan Bola Sepak Tan Sri Hamidin Mohd Amin, berkata Allahyarham yang pernah menggalas jawatan sebagai Setiausaha Agung FAM juga dikenali dengan karakter mesra dan ceria dengan semua pihak termasuk rakan-rakan media.
“Umum tahu Allahyarham ini pernah menjadi Setiausaha Agung FAM, dan ketika itu saya menjadi ahli majlis FAM. Saya masih ingat lagi saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai FAM, yang mana beliau menjadi Setiausaha Agung, dan Allahyarham begitu senang didekati.
“Allahyarham juga seorang yang peramah dan cukup sinonim dengan media dan rakan exco, serta senang ramah untuk bergaul.
“Beliau jarang dilihat marah atau membuat apa-apa yang peminat bola sepak tidak suka,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini pada Sabtu.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi; bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharom; serta bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Mohd Shariff Omar.
Berkongsi lanjut, Hamidin menambah Allahyarham juga banyak memberikan pendapat kepada rakan-rakan setugas demi pembangunan bola sepak tanah air.
“… dan ia satu kehilangan bagi diri saya dan dunia sukan serta peminat sukan.
“Allahyarham cukup senang didekati dan tiada sempadan antara beliau dan mana-mana pihak,” ujarnya lagi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi pernafasan pada pukul 6.30 petang Jumaat di sebuah hospital swasta di ibu negara.
Menurut anaknya, Datuk Zairil Ayu, Allahyarham mengalami serangan jantung dan menerima rawatan di hospital berkenaan sejak dua minggu lepas.
Allahyarham Ibrahim berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dari 1990 hingga 1995, ketika pentadbiran Tan Sri Koh Tsu Koon.
Sepanjang kerjayanya, Ibrahim juga pernah berkhidmat sebagai Ketua UMNO Bukit Mertajam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Timbalan Menteri Pengangkutan, dan Duta Malaysia ke Filipina.
Beliau juga memainkan peranan penting dalam membantu orang Melayu di Pulau Pinang untuk maju ketika beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri pada awal 90-an.