Tan Sri Abdul Hamid diumum Tokoh Maal Hijrah 1435H peringkat kebangsaan

Bernama
November 5, 2013 07:00 MYT
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1435H peringkat kebangsaan.
Sementara penerima anugerah tokoh Maal Hijrah peringkat antarabangsa ialah cendekiawan, ulama tersohor dan pendakwah Islam dari Mumbai, India, Dr Zakir Abdul Karim Naik.
Masing-masing menerima wang tunai RM100,000, pingat penghargaan dan sijil penghargaan berbentuk plak dan bingkai.
Abdul Hamid, 69, berkelulusan Sarjana dalam bidang Siasah Shariyyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir pernah memegang jawatan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Dalam ucapannya, Abdul Hamid berkata penganugerahan itu menunjukkan penghargaan kerajaan Malaysia terhadap jasa yang telah ditaburkan.
"Sesungguhnya saya amat terharu dengan penganugerahan ini dan merupakan satu penghormatan kepada saya dan keluarga yang akan terpahat dalam lipatan perjalanan hidup saya," katanya.
Beliau berkata semoga sambutan Maal Hijrah yang diadakan setiap tahun dapat menjadikan kekuatan dalam perjuangan untuk mengangkat martabat serta mempertahankan maruah masyarakat Islam.
Sementara itu, Dr Zakir, 48, merupakan pengasas Islamic Research Foundation di India dan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perubatan dan pembedahan dari University Bombay, Mumbai.
"Terima kasih kepada kerajaan Malaysia bagi pengiktirafan ini, saya berasa sungguh gembira menerima anugerah ini dan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menerima saya sebagai pendakwah Islam di negara ini," katanya dalam ucapan.
Katanya hanya melalui Al-Quran dan Sunnah sahaja dapat menyatukan perpaduan ummah dan menyelesaikan segala permasalahan.
#Abdul Hamid Zainal Abidin #Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri #Dr Zakir Abdul Karim Naik #Tokoh Maal Hijrah 1435H
;