Tan Cheng Hoe ucap takziah, harap Syafiq tabah
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 6, 2020 16:58 MYT
Disember 6, 2020 16:58 MYT
SUNGAI BAKAP: Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe turut menzahirkan ucapan takziah kepada pemain kebangsaan Muhammad Syafiq Ahmad yang kehilangan bayi lelaki dan ibu mertua dalam kemalangan di Kilometer 163.6 Sungai Bakap, Pulau Pinang hari ini.
Beliau tiba di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Bakap (HSB) kira-kira jam 1.55 petang bagi memberi semangat buat penyerang JDT itu.
Jelasnya, dia turut bersimpati dengan situasi yang dihadapi Muhammad Syafiq dan berharap beliau tabah menghadapi dugaan selepas kehilangan anak dan ibu mertuanya.
Beliau berkata dengan sokongan ahli keluarga, rakan sepasukan dan penyokong beliau berharap Muhammad Syafiq akan kembali pulih dan meneruskan kehidupan seperti sediakala.
"Buat masa ini kita nampak Syafiq dlm keadaan cukup tenang. (Dia) kena tabah lah. Setakat ini bukan senang untuk dia terima kehilangan anak dan mak mentua serta pembantu rumah dia.
"Sebagai jurulatih, kita bagi nasihat dan doa semoga waktu terdekat ini dia dalam keadaan normal balik. Bukan senang bagi mana-mana individu yang kehilangan orang kesayangan.
"Harap beliau dapat kembali hidup seperti normal. Bukan senang. Harap sokongan kawan dan keluarga juga semua rakyat. Beri doa yang terbaik," ujar Cheng Hoe.
Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata Muhammad Syafiq tidak terlibat dengan sebarang latihan selepas pembatalan Piala Malaysia ekoran pandemik COVID-19.
"Sepatutnya memang ikut jadual asal, (pasukan) kebangsaan akan adakan latihan selepas final Piala Malaysia tapi disebabkan (kejohanan) dibatalkan maka tiada apa-apa latihan.
"Dalam keadaan macam ni, perlu berikan Syafiq masa untuk pulihkan keadaan. Buat sementara dia memang akan lupakan bola, maka kita kena banyak berikan sokongan," katanya.
Dalam kejadian jam 4 pagi Ahad, tiga termasuk bayi 22 hari maut, manakala tiga lagi cedera selepas Toyota Vellfire dipandunya terbabas di Kilometer 163.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Sungai Bakap.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Aisy Saqeef 22 hari, ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dan wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.
Muhammad Syafiq dan anak perempuannya berusia 2 tahun, Aaira Nur Saffiyya hanya cedera ringan, manakala isteri yang sedang berpantang, Nur Amalina Norain, 25, parah dirawat di Hospital Seberang Jaya.
#Tan Cheng Hoe
#Muhammad Syafiq Ahmad
#bola sepak
#kemalangan
#pemain kebangsaan
#pemain JDT
#lebuhraya