'Tampil jika pernah jadi mangsa gangguan seksual' - Persatuan Unduk Ngadau Sabah

Eleanor Michelle Patrick
Jun 3, 2021 17:36 MYT
Audrey Wilson Rantau berkata mereka bersedia untuk mendengar serta memberikan sokongan kepada sesiapa sahaja yang terjejas. - Gambar/ Facebook @audreyrantau
KOTA KINABALU: Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS) menggesa mana-mana peserta pertandingan itu untuk tampil bersuara sekiranya pernah menjadi mangsa kepada sebarang salah laku, terutama gangguan seksual.
Setiausaha persatuan itu, Audrey Wilson Rantau berkata mereka bersedia untuk mendengar serta memberikan sokongan kepada sesiapa sahaja yang terjejas.
Tambah beliau, PUNS memandang serius terhadap dakwaan cabul yang dibuat oleh salah seorang peserta pertandingan tersebut dan berharap keadilan akan dapat diberikan kepada mangsa.
"Persatuan memang memandang serius terhadap perkara ini kerana bukan sahaja melibatkan martabat seorang wanita, tetapi juga kesucian seorang Unduk Ngadau, yang kita semua tahu nilai dia dalam Pesta Kaamatan setiap tahun.
"Kami bersedia untuk mendengar jika anda memerlukan apa-apa sahaja bantuan dan sokongan dalam apa sahaja perkara.
"Ini termasuk kes melibatkan tingkah laku tidak senonoh terhadap wanita Kadazan Dusun, Murut, Rungus," katanya di sini, pada Khamis.
BACA: Polis siasat laporan peserta Unduk Ngadau dicabul
BACA: Didakwa cabul peserta Unduk Ngadau, ahli parti STAR ditahan polis
[TERKINI] Cabul Unduk Ngadau | Ahli parti STAR ditahan polis
Beliau dalam pada itu meminta semua pihak supaya menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa selain memberi ruang kepada mangsa yang terlibat dalam kes berkenaan.
Sejak Selasa, satu laporan polis bertarikh 21 Mei lalu tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp berhubung laporan polis seorang peserta Unduk Ngadau yang mendakwa diraba salah seorang jawatankuasa penganjur.
Susulan itu, seorang ahli parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang didakwa mencabul mangsa, ditahan polis pada Khamis.
#unduk ngadau #gangguan seksual #ratu cantik #Pesta Kaamatan #PUNS #Tampil #buat laporan #sokongan
;