Tampar polis, tendang orang awam: Pelakon direman 4 hari

Astro Awani
Januari 12, 2018 12:06 MYT
Perintah tahanan reman terhadap pelakon itu dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zubir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Seorang pelakon dan pengarah filem yang dilaporkan menampar seorang anggota polis dan menendang dua orang awam, ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah penahanan reman itu dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zubir terhadap suspek yang bergelar Datuk berusia 37 tahun itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
Suspek yang memakai baju lokap ungu tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya dengan menaiki trak polis kira-kira jam 10 pagi, sebelum diiringi anggota polis ke kamar mahkamah pada jam 10.35 pagi untuk prosiding reman.
Dalam kejadian pada jam 1.20 tengah hari semalam, pelakon terbabit dilaporkan ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.
Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka petugas lelaki yang menerima aduan itu, disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.
Selain mencederakan anggota polis yang berusia 24 tahun, dia dipercayai menendang dua orang awam di tempat sama.
Difahamkan, sebelum kejadian tercetus di balai polis itu, pelakon itu dikatakan menahan sebuah kereta yang dinaiki oleh seorang lelaki berusia 34 tahun, di tepi jalan berhampiran pusat beli-belah Tropicana, Petaling Jaya, kira-kira jam 12.30 tengah hari.
#Dadah #pelakon #pengarah #polis trafik #tahan reman #tampar polis #tendang orang awam
;