Tampar pemain: KPM serah JPN ambil tindakan terhadap jurulatih - Fadhlina
Umavathi Ramayah
Januari 12, 2023 15:55 MYT
Januari 12, 2023 15:55 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengambil tindakan ke atas jurulatih bola tampar yang terbabit dalam kontroversi menampar dua pemain, baru-baru ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sebagai penjawat awam, jurulatih itu tertakluk kepada Peraturan 4(2)(d), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
"KPM telah meneliti secara terperinci hasil laporan siasatan daripada pelbagai sudut, khususnya yang melibatkan etika serta imej profesion perguruan.
"Guru yang juga merupakan penjawat awam, maka Jabatan Pendidikan Negeri boleh mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan tindakan tidak wajar, melanggar peraturan atau melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan pertikaian oleh masyarakat melalui aspek keselamatan yang diterapkan oleh warga guru terhadap murid," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di sini, pada Khamis.
Menurut Fadhlina, KPM amat prihatin serta cakna akan aspek keselamatan dan kebajikan murid semasa di sekolah mahu pun ketika mengikuti aktiviti kokurikulum di luar.
"KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid menjadi keutamaan.
"Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu mengambil berat dan memberi perhatian untuk mengelak atau mengawal daripada berlaku sebarang kemungkinan yang tidak diingini," ujarnya.
Rakaman insiden seorang jurulatih menampar dua pemainnya pada satu kejohanan bola tampar tular dalam media sosial baru-baru ini dan mendapat kecaman ramai.
Klip video tular berkenaan memaparkan jurulatih terbabit menampar dua pemain wanita ketika Kejohanan Remaja B14 di Kota Tinggi, Johor pada 14 hingga 16 Disember lalu.