Tampar pemain: "Cikgu itu banyak berkorban, kami mahu dia dikekalkan" - Keluarga
Shuhada Abdul Kadir
Januari 3, 2023 15:23 MYT
Januari 3, 2023 15:23 MYT
ALOR GAJAH: Keluarga atlet bola tampar remaja yang didakwa ditampar jurulatihnya ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 tahun baru-baru ini memohon semua pihak menghentikan kecaman mahupun sebarang bentuk tindakan kepada jurulatih berkenaan.
Bapa kepada salah seorang atlet yang terbabit dalam insiden itu berkata, perkara berkenaan sudah diselesaikan lebih awal dan tidak sepatutnya diperbesarkan oleh mana-mana pihak memandangkan dia yakin tindakan jurulatih yang juga seorang guru itu hanya untuk memberikan sesuatu yang terbaik kepada pasukan.
Dia ketika ditemui di kediamannya di Alor Gajah berkata, dia sudah dimaklumkan berhubung tindakan guru itu menampar anaknya pada hari perlawanan lagi iaitu pada 16 Disember lalu.
Bagaimanapun ujarnya, dia tidak mengambil serius berhubung tindakan itu memandangkan anaknya memaklumkan tidak mengalami sebarang kecederaan selain tindakan itu juga tidak meninggalkan kesan emosi kepada anak serta seorang lagi rakannya.
Malahan katanya, dia juga sudah bertemu dengan keluarga seorang lagi atlet yang didakwa turut ditampar oleh jurulatih berkenaan dan mereka turut memaklumkan tidak mahu memanjangkan isu ini memandangkan jurulatih itu merupakan pelatih yang amat disenangi.
“Ini mungkin kali pertama dia buat, takkan silap sikit nak berhenti, buang dia kerja, maksud saya anak saya tak ada apa-apa, kalau anak saya dengan kawan dia tu memang cedera, memang patut lah dia diambil tindakan, memang tak ada apa-apa.
“Anak saya pun tak ada luah apa-apa, dia kata tak kisah, dia kata dia pernah cakap dengan Jabatan Pendidikan hari itu datang, game kedua ketiga mereka tambah semangat, bukan takut, tapi bertambah semangat.
“Macam ibarat memberi bangun mereka daripada tidur, walaupun tamparan itu, memang tak kuat pun, tapi anak saya kata semangat, cuma kemenangan itu berpihak kepada dia,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, dia mengakui terkejut apabila kejadian itu menjadi tular baru-baru ini sehingga mendapat reaksi kepimpinan tertinggi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
Malah, dia juga tidak bersetuju dengan tindakan drastik Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) untuk menggantung penglibatan jurulatih itu daripada melibatkan diri di dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan memandangkan beliau sudah terlalu banyak berkorban untuk membawa pasukan bola tampar negeri ini ke tahap yang membanggakan.
“Saya nak jabatan, kementerian jangan kecam cikgu itu teruk sangat, kalau boleh cikgu itu jadi balik semula jurulatih untuk anak saya, dan anak-anak saya dan kedua belah pihak pun setuju,” katanya lagi.
Terdahulu, tular kejadian yang memaparkan jurulatih tersebut bertindak menampar dua pemain ketika membimbing pasukan Melaka sewaktu Kejohanan Bola Tampar Remaja bawah 14 tahun yang diadakan 16 Disember lalu.
Insiden itu telah mendapat perhatian beberapa pihak antaranya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta mantannya, Datuk Seri Faizal Azumu, yang menyelar tindakan berkenaan, manakala Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan butiran lanjut isu yang tular ini kerana membabitkan pelajar bawah umur.
Susulan itu juga, MAVA mengambil keputusan untuk menggantung jurulatih berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan.