Tampar juruwang hamil, pemandu lori ais didenda RM1,500
Hilmi Malik
Disember 17, 2020 12:57 MYT
Disember 17, 2020 12:57 MYT
KLANG: Gara-gara menampar seorang juruwang hamil di sebuah pasar raya, seorang lelaki diarah membayar denda RM1,500 di Mahkamah Klang pada Khamis.
Tertuduh, Izuandy Efendi, 38, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Nor Amalina.
Pada 29 November lalu, tertuduh telah bertindak menampar seorang juruwang yang juga dalam keadaan hamil berikutan berlaku salah faham di sebuah pasar raya di sini.
Mangsa difahamkan secara tidak sengaja tercampak keluar barangan yang ingin dimasukkan ke dalam plastik ketika pembayaran di kaunter dalam kejadian sekitar jam 9.30 malam.
Rakaman insiden tersebut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial menunjukkan isteri tertuduh mengadukan perkara tersebut sebelum tertuduh bertindak menampar mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj.
Bagaimanapun, tertuduh yang juga seorang pemandu lori ais telah dibebaskan selepas selesai membayar denda tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mencederakan.