Tambang feri Pulau Pangkor: Kerajaan negeri bincang kenaikan harga tiket - Exco
Aida Aziz
Julai 6, 2022 07:42 MYT
Julai 6, 2022 07:42 MYT
IPOH: Isu kenaikan tambang feri ke Pulau Pangkor sudah dibawa ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk dibincangkan secara tuntas.
Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, beliau peka dengan kegusaran yang dihadapi ramai pihak ketika ini, termasuk pemain industri pelancongan, berhubung isu tersebut.
Bagaimanapun, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak itu, perkara tersebut di luar kawalan kerajaan negeri.
"Kenaikan harga tiket feri itu kerana caj bahan api meningkat. Jadi, ini adalah di luar kawalan kita. Ia lebih berasaskan kepada desakan harga pasaran dan permintaan.
"Bagaimanapun, kita akur ini menjadi satu kegusaran bagi penggiat industri, khususnya yang mengharap pengunjung ramai menaiki feri dan merasakan ia (harga) tinggi.
"Kita telah pun membawa isu ini ke MMK di bawah portfolio Exco Datuk Mohd Zolkafly Harun. Jadi, mungkin kita akan kongsikan kemudian apa langkah dan tindakan yang boleh dibuat selepas ini," katanya.
Nolee Ashilin berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas Apresiasi Seni, Budaya dan Warisan Negeri Perak di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak di sini semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah JKKN Mesran Mohd Yusop, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Tourism Perak Management Berhad Datuk Mohamad Kamil Shafie.
Mengulas lanjut, Nolee Ashilin juga berkata, kenaikan harga tiket feri itu telah dimaklumkan kepada pemain industri yang terlibat termasuk operator pengangkutan ke pulau tersebut.
"Saya difahamkan, beberapa siri perjumpaan sudah diadakan sebelum ini, iaitu sebelum mereka menaikkan harga tiket feri.
"Peringkat Kementerian (Pengangkutan) yang memberi kebenaran (menaikkan tambang) kepada mereka, bukan kerajaan negeri," tambahnya.
Ditanya sama ada kenaikan itu sedikit sebanyak merencatkan kedatangan pengunjung ke pulau peranginan itu, Nolee Ashilin berkata kesannya masih dalam peringkat pemantauan.
"Setakat ini belum mendapat maklumat akan menjejaskan, kerana sekarang sedang di luar musim kemuncak.
"Cuti hari raya Aidiladha nanti kita boleh melihat sama ada ia sebenarnya akan membawa kesan yang mudarat kepada pelancongan di Pangkor atau tidak," katanya lagi.
Isnin lalu media melaporkan, tambang bagi perjalanan dua hala ke Pulau Pangkor kini meningkat kepada RM20 berbanding RM14 sebelum ini bagi dewasa manakala kanak-kanak pula RM11, mulai 1 Julai lalu.
Kenaikan tambang itu diakui seorang operator feri di Jeti Lumut, Rositah Abdul Razak, yang menjelaskan perkara itu tidak dapat dielakkan kerana peningkatan kos operasi mereka.
Menurutnya, bahan api, penyelenggaraan dan penetapan gaji minimum sebanyak RM1,500 oleh kerajaan antara punca menyebabkan perkhidmatan pengangkutan tersebut meningkatkan kos operasi.