Tambang ditawar e-hailing harga 15 tahun dulu, tak munasabah! - Pemandu teksi

Pritha Manivannan
Mac 23, 2018 20:13 MYT
Pengguna perkhidmatan teksi dan e-hailing menyeru pemandu teksi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mengurangkan caj tambang yang dikenakan. -Pemandu Teksi
"Penggunaan aplikasi e-hailing tidak membantu kerana ia tidak menguntungkan."
Itu luahan pemandu teksi di sekitar Lembah Klang ketika memberi respons kepada komen Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri yang menyeru agar pemandu teksi menyertai perkhidmatan tempahan teksi secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih atau e-hailing.
Menurut pemandu teksi Yaakob Mohamad Anuar, 50 tahun, persaingan di antara teksi dan kemudahan e-hailing lain seperti GrabCar dan Uber itu sihat, tetapi jika pengguna teksi mula menggunakan kemudahan e-hailing seperti yang disarankan, pemandu teksi akan mengalami kerugian.
"Daripada segi harga memang tidak munasabah. Daripada segi pengurusan kereta teksi, harga petrol memang tidak berbaloi jika kami menggunakan aplikasi e-hailing.
"Harga yang ditawarkan di aplikasi e-hailing tidak sama dengan harga teksi. Harga yang ditawarkan di aplikasi e-hailing merupakan harga 15 tahun dulu. Pada masa sekarang, harganya tidak munasabah dan tidak menguntungkan kami sebagai pemandu," kata Yaakob.
Senada, Abu Zahid, 45 tahun, yang memandu teksi selama 20 tahun berkata jika pemandu teksi menggunakan aplikasi e-hailing ia hanya akan menguntungkan syarikat pengurusan aplikasi tersebut dan pengguna.
"Sebagai pengguna, kamu akan memilih pilihan yang lebih murah. Bagi saya ia tidak menguntungkan. Ia hanya menguntungkan syarikat e-hailing dan pengguna," luah Abu.
Sementara itu, seorang lagi pemandu teksi, Bala Shanmugam berkata dia berharap penggunaan aplikasi e-hailing akan membantu pemandu teksi menjadi setaraf dengan perkhidmatan e-hailing, terutamanya daripada segi sambutan pelanggan dan peningkatan keuntungan.
"Hampir 15 tahun saya memandu teksi dan saya dapat melihat penurunan dari segi pendapatan. Ini kerana wujudnya perkhidmatan e-hailing seperti GrabCar dan Uber.
"Jika pemandu teksi mendapat manfaat yang sama seperti GrabCar dan Uber apabila menggunakan perkhidmatan e-hailing, saya akan sokong saranan ini," katanya.
Tingkatkan kualiti perkhidmatan, kurangkan harga
Pengguna perkhidmatan teksi dan e-hailing menyeru pemandu teksi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mengurangkan caj tambang yang dikenakan.
Menurut pekerja bank Serene Foo, penggunaan perkhidmatan e-hailing oleh pemandu teksi mungkin akan mengurangkan harga bagi pengguna tetapi kualiti kenderaan yang usang dan tidak sebaik Uber atau GrabCar akan menjejaskan pilihan pengguna.
"Jika pemandu teksi menambah baik keadaan kenderaan dan sikap mereka, saya sudah pasti akan menggunakan perkhidmatan mereka," kata Serene.
Amir Fitri seorang pegawai eksekutif, penggunaan perkhidmatan e-hailing oleh pemandu teksi sangat memanfaatkan.
"Dari segi tempahan ia akan banyak membantu. Sebagai pengguna kami tidak perlu membuang masa tunggu dekat jalan. Ia bermanfaat kepada kedua-dua pihak," luah Amir.
Turut senada, Shalini Govindasamy berkata jika penggunaan e-hailing oleh teksi akan menjadikannya setaraf dengan perkhidmatan e-hailing yang lain dia akan mula menggunakan perkhidmatan teksi.
"Saya guna GrabCar dan Uber, saya tidak suka menggunakan perkhidmatan teksi, kerana harganya yang terlalu tinggi.
"Dengan adanya perkhidmatan e-hailing untuk teksi dan semuanya jadi setaraf saya akan menggunakan teksi," kata Shalini.
#e-hailing #GrabCar #kereta #Malaysia #Nancy Shukri #tambang teksi #teksi #Uber
;