Tambang bas sekolah: Pengusaha, ibu bapa perlu bincang, wujudkan situasi menang-menang

Ridauddin Daud
Januari 1, 2023 16:37 MYT
Media sebelum ini melaporkan tambang bas sekolah mungkin akan naik pada Januari disebabkan kos operasi yang meningkat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengusaha bas sekolah dan ibu bapa perlu mengadakan perbincangan segera bagi mewujudkan situasi menang-menang berhubung isu kenaikan tambang bas sekolah.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Yusrizal Yusof berkata, beliau memahami kesukaran pengusaha bas yang terbeban dengan kos penyelenggaran dan gaji pemandu yang semakin meningkat, memungkinkan mereka gulung tikar jika tidak naikkan harga.
Begitupun, jelasnya pengguna juga terbeban dengan beberapa siri kenaikan harga barang dan semestinya kenaikan tambang bas sekolah akan memberi tekanan tambahan kepada mereka.
“Persatuan juga perlu melihat kualiti perkhidmatan mereka dan menawarkan harga berpatutan. Sekiranya nak menaikkan tambang, ia tidak perlu diumumkan ke seluruh Malaysia seperti ini.
“Perlu ada perbincangan dengan pihak ibu bapa. Sekiranya perlu menaikkan harga, bincang dengan ibu bapa…ceritakan ini kos terpaksa ditanggung pengusaha bas.
“Sekiranya tak naikkan harga mereka akan gulung tikar dan sebagainya. Semua ini perlu dilihat semula.
“Sekiranya gabungan persatuan (pengusaha bas sekolah) keluarkan kenuyataan seperti ini (naikkan tambang), ini tidak patut dan tidak adil kepada pengguna,” katanya kepada Astro AWANI.
Media sebelum ini melaporkan tambang bas sekolah mungkin akan naik pada Januari disebabkan kos operasi yang meningkat, kata badan persatuan bas sekolah.
Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, harga alat ganti yang lebih tinggi, kenaikan gaji pemandu dan persaingan daripada pengusaha tidak berlesen antara faktor utama kenaikan itu.
Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof pula berkata, kenaikan tambang bas sekolah setiap kali menjelang sesi persekolahan tahun baharu sepatutnya tidak lagi menjadi isu.
Jelasnya, ia telah diregulasikan oleh kerajaan selain menjelaskan, ibu bapa boleh berbincang dengan pengusaha bas sekolah untuk menetapkan kadar tambang atau caj yang dipersetujui bersama berpandukan situasi 'menang-menang'.
Kenyataan kenaikan tambang bas sekolah pantas menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa apatah lagi selepas dilaporkan jumlah kenaikan agak tinggi.
Mereka menyifatkan kenaikan itu akan membebankan pengguna selepas mereka terpaksa berdepan dengan masalah kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun.
#tambang bas sekolah #naik harga #persatuan bas #pengguna #ibu bapa
;