Tambang bas cekik darah, Gopeng-Johor Bahru RM241
Sinar Harian
Februari 11, 2024 23:37 MYT
Februari 11, 2024 23:37 MYT
SHAH ALAM: Kementerian Pengangkutan diminta mengambil tindakan terhadap pengusaha bas ekspres yang didapati menaikkan harga tambang sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina.
Pegawai Pendidikan Kanan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, tindakan tegas termasuk menggantung lesen perkhidmatan bas ekspres wajar dilakukan apabila sepasang suami isteri terpaksa membayar lebih RM800 untuk perjalanan dua hala dari Gopeng, Perak ke Johor Bahru (JB).
Menurut beliau, pengguna terbabit dikenakan bayaran antara 270 peratus hingga 344 peratus berbanding harga biasa RM70 untuk setiap penumpang bagi satu hala.
"CAP berasa kecewa dan terkejut apabila penumpang yang dalam perjalanan dari JB ke Gopeng dikenakan bayaran mahal bagi tiket bas yang dibelinya dari dalam talian sebulan lalu sebelum Tahun Baharu Cina.
"Penumpang terbabit dikenakan caj tiket dari JB ke Gopeng sebanyak RM190 seorang untuk perjalanan Jumaat lalu dan membayar RM241 untuk perjalanan pulang semula ke JB pada Isnin.
"Secara peribadi, pengadu merasakan tambang bas yang dikenakan terhadapnya adalah berlebihan dan CAP merasakan bahawa ini satu eksploitasi kepada pengguna," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Kata Subbarow, pihaknya berasa kecewa apabila industri syarikat bas ekspres mengambil kesempatan meskipun peringatan telah diberikan sebelum ini.
"Beberapa syarikat bas ekspres memperoleh keuntungan besar daripada pengguna atas nama perayaan.
"Kebanyakan pengguna yang menaiki bas ekspres adalah daripada kumpulan B40. Kementerian Pengangkutan wajar menyediakan meja aduan untuk penumpang yang dieksploitasi oleh syarikat bas musim perayaan ini," katanya.