Tambak laut Pulau Pinang: PM kaji bantahan nelayan
Harits Asyraf Hasnan
Julai 11, 2019 14:44 MYT
Julai 11, 2019 14:44 MYT
Kerajaan akan mengkaji bantahan nelayan berhubung projek tambakan laut melibatkan pembinaan tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan menilai memorandum bantahan nelayan di negeri-negeri utara tanah air itu sebelum mengambil tindakan sewajarnya.
“Kita akan kaji pendapat mereka (nelayan) dan sekiranya benar dakwaan benar seperti disangka, maka kerajaan akan ambil tindakan secepatnya.
“Jika mereka kemukakan memorandum bantahan, kerajaan akan baca dan teliti,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Pagi tadi, kira -kira 200 nelayan dari Perak dan Pulau Pinang bersama aktivis alam sekitar berhimpun di pintu masuk Parlimen bagi membantah projek tambakan laut melibatkan pembinaan tiga pulau buatan di selatan negeri Pulau Mutiara itu.
Kesemua mereka yang berpakaian putih berhimpun di Tugu Negara bermula pukul 8 pagi sebelum berarak ke Parlimen kira-kira sejam kemudian.
Kumpulan berkenaan menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada beberapa kementerian termasuk kepada Dr Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta lapan kementerian lain.
Antara isi kandungan tuntutan mereka adalah menggesa campur tangan Kerajaan Persekutuan terhadap projek tersebut.
Menurut mereka, proses laporan penilaian kesan kepada alam sekitar (EIA) projek tambakan laut oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga bersikap autokratik dengan mengabaikan bantahan dan pandangan awam.
Kesemua berkenaan turut menjelaskan, gambaran "penerimaan" segelintir nelayan terhadap projek berkenaan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang adalah daripada kelompok yang sudah bersara dan separuh masa, sedangkan projek berkenaan akan menjejaskan 10,000 nelayan sepenuh masa.
Selain itu, mereka turut membangkitkan aktiviti mengorek pasir di Perak untuk tambakan laut di Pulau Pinang adalah ibarat bom jangka yang akan menghakis pantai.
#Mahathir Mohamad
#Parlimen
#Perak
#Perdana Menteri
#PM kaji bantahan nelayan
#pulau pinang
#tambak laut
#Tambak laut Pulau Pinang