Tambahan stok 30 peratus kepada peruncit di musim banjir - KPDNHEP Kelantan
Bernama
Oktober 25, 2022 07:00 MYT
Oktober 25, 2022 07:00 MYT
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan membenarkan tambahan stok sebanyak 30 peratus kepada 67 peruncit di negeri itu bermula 1 Nov.
Pengarahnya Azman Ismail berkata tindakan itu dilakukan sebagai persediaan menghadapi musim banjir yang dijangka tidak lama lagi.
"Setakat ini kami cukup bersedia untuk musim tengkujuh kecuali berlaku perkara di luar kawalan.
"Biasanya tambahan dilakukan pada awal November. Barangan yang ditambah biasanya beras, ayam, telur dan barangan keperluan asas lain," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjalankan Pemantauan Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2002 di sebuah pasar raya di Pengkalan Chepa, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Azman berkata sekiranya berlaku bencana di luar jangkaan pihaknya akan mendapatkan bekalan daripada negeri yang tidak terlibat banjir bagi membolehkan keperluan barangan kepada orang ramai tidak terputus.
-- BERNAMA