Tambahan peruntukan kaum India bukti Bajet 2017 inklusif

Bernama
Oktober 22, 2016 07:19 MYT
Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada Jumaat mengumumkan peruntukan tambahan bagi masyarakat India kepada RM260 juta berbanding RM150 juta sebelum ini. - fotoBERNAMA
Tambahan peruntukan masyarakat India kepada RM260 juta dalam Bajet 2017 berbanding RM150 juta sebelum ini, membuktikan belanjawan kali ini bersifat inklusif serta tidak meminggirkan masyarakat minoriti negara ini.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk K K Eswaran berkata peruntukan itu termasuk dana RM100 juta menerusi TEKUN Nasional, RM50 juta melalui Amanah Ikhtiar Malaysia dan selebihnya bagi tujuan mempertingkatkan kapasiti, sekolah dan prasekolah SJK Tamil.
"Banyak yang boleh diraih komuniti perniagaan India dalam bajet berkenaan, termasuk inisiatif pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), inovasi, kreativiti dan sebagainya," katanya kepada Bernama sebagai mengulas pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat.
Mengulas lanjut, Eswaran berkata biarpun berdepan cabaran ekonomi semasa akibat kejatuhan harga minyak mentah, Malaysia masih mampu memperuntukkan sejumlah RM260 juta dalam Bajet 2017 bagi memajukan negara.
Kalangan masyarakat dan komuniti India juga, katanya, yang terbukti memperoleh manfaat sebelum ini, akan terus menikmati hasil sama menerusi Bajet 2017.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED), Datuk Dr A T Kumararajah pula menyifatkan peruntukan menerusi TEKUN dan Amanah Ikhtiar adalah satu inisiatif yang amat bermakna bagi kaum berkenaan.
"Seramai 9,000 ahli perniagaan India mendapat manfaat di bawah pelbagai program Amanah Ikhtiar setakat ini. Justeru, peruntukan dalam bajet kali ini akan dapat menambah pendapatan isi rumah kaum India dalam kumpulan B40," katanya.
Lebih 18,000 usahawan mikro India mendapat faedah peruntukan TEKUN sebanyak RM250 juta sejak 2009.
Malah, menerusi peruntukan RM100 juta dalam Bajet 2017, lebih 5,000 perniagaan dapat dibantu dalam masa setahun.
Kerajaan juga, kata Kumarajah, turut mengumumkan 2017 sebagai tahun syarikat permulaan dengan peruntukan RM200 juta sebagai inisiatif memulakan perniagaan masing-masing.
Selain itu, katanya, lebih 300,000 usahawan akan mendapat manfaat hasil penekanan kerajaan terhadap ekonomi digital membabitkan peruntukan RM162 juta kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia. -- BERNAMA
#Bajet 2017 #Belanjawan #kaum india #Najib Razak
;