Tambahan penerbangan musim perayaan elak tambang melampau - Loke

Isabelle Leong
September 4, 2018 16:17 MYT
Anthony Loke (tengah) berkata kerajaan menolak penetapan harga siling tiket penerbangan semasa musim perayaan yang dibentangkan di Parlimen sebelum ini. -Astro AWANI / Isabelle Leong
Kementerian Pengangkutan dan tiga syarikat penerbangan tempatan bersetuju menawarkan penambahan penerbangan sebanyak 20 peratus sepanjang musim perayaan bermula tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata langkah tersebut diambil bagi mengawal tambang penerbangan yang didakwa sering dimanipulasi ketika itu.
Beliau berkata tiga syarikat penerbangan tempatan -- Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia, dan Malindo Airlines -- bersetuju menambah jumlah penerbangan tujuh hari sebelum musim perayaan.
“Kami telah mengenal pasti tiga musim perayaan yang selalunya berdepan dengan harga tiket yang melambung iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai.
"Tiga perayaan ini berdepan dengan harga tambang yang sensitif dan kita bakal melihat bagaimana kita mahu menurun harga tambang melalui tempoh percubaan," katanya pada sidang media selepas mengadakan perbincangan bersama tiga syarikat penerbangan di pejabat MAVCOM, Kuala Lumpur pada Selasa.
Beliau berkata tempoh tujuh hari ini masih dalam percubaan dan akan dimulakan dengan perayaan Tahun Baru Cina di laluan Kuala Lumpur-Sibu, Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, Kuala Lumpur-Kuching, Johor Bahru-Sibu, Johor Bahru-Kota Kinabalu, Johor Bahru-Kuching dan Johor Bahru-Ipoh.
Dalam sidang media sama, Loke berkata kerajaan walau bagaimanapun menolak penetapan harga siling tiket penerbangan semasa musim perayaan sepertimana dibentangkan di Parlimen sebelum ini.
Ia susulan kajian Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang mendapati harga siling tidak wajar dikenakan kerana boleh memberi kesan kepada harga purata pada musim biasa.
#Anthony Loke #harga siling #harga tiket #Malaysia Airlines #penerbangan Malaysia #perayaan
;