Tambahan parkir tangani kesesakan lalu lintas Cameron Highlands

Bernama
September 5, 2024 17:30 MYT
Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) bersetuju untuk menyediakan tempat letak kereta itu di atas sebahagian tanah milik MDCH. - Gambar fail
KUANTAN: Kerajaan Pahang komited menangani masalah kesesakan lalu lintas di kawasan pelancongan Cameron Highlands terutama di kawasan Kea Farm, Brinchang dengan penambahan tempat letak kereta, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) bersetuju untuk menyediakan tempat letak kereta itu di atas sebahagian tanah milik MDCH.
"Penambahan tempat letak kereta ini mengandungi dua fasa iaitu fasa satu melibatkan 516 buah petak parkir yang dijangka akan siap dilaksanakan pada Februari 2025.
"Sementara fasa dua melibatkan 543 buah petak parkir tertakluk kepada keperluan dan permintaan," katanya pada Persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ho Chi Yang (PH-Tanah Rata) yang ingin mengetahui perancangan kerajaan negeri untuk membina parkir bertingkat di Cameron Highlands bagi menambah jumlah tempat letak kereta dan mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di Kea Farm.
DUN-CAMERON HIGHLANDS 2 (AKHIR) KUANTAN
Menjawab soalan tambahan Ho berkaitan projek pembinaan jalan alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat pelancongan tanah tinggi itu, Mohammad Fakhruddin berkata kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM122 juta bagi projek naik taraf di bulatan McDonald ke persimpangan Brinchang.
Beliau berkata projek naik taraf dinamakan 'Time Tunnel' dan membina 'jalan lingkar sehala di Kea Farm' itu sudah mencapai sembilan peratus kemajuan setakat ini yang dilaksanakan oleh pihak berkaitan.
"Yang keduanya, dalam fasa 2B, masih dalam peringkat reka bentuk. Kerajaan juga telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM480 juta untuk menaik taraf jalan persekutuan dan ini masih lagi dalam peringkat reka bentuk," katanya.
-- BERNAMA
#Cameron Highlands #kesesakan #kawasan parkir #usaha kerajaan
;