Tambah tenaga kerja tempatan dalam bidang perkapalan - Liow Tiong Lai

Hilal Azmi
Oktober 30, 2015 19:52 MYT
Pelan induk ini bukan sahaja untuk memantapkan daya saing industri tempatan, tetapi juga menambah baik infrastruktur di pelabuhan sedia ada. - Gambar Fail
Kerajaan mahu tambah tenaga kerja tempatan dalam industri perkapalan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, setakat ini lebih 40 peratus pekerja dalam industri berkenaan dijawat pekerja asing.
"Pelaut kita sekarang ada 20,000 orang tetapi, 7,000 daripada mereka adalah pelaut asing dan kita harap dapat latih lebih ramai pelaut tempatan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Maritim Antarabangsa 2015 di sini hari ini.
Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Laut Malaysia dan Institut Maritim Malaysia (MIMA) untuk menyediakan Pelan Induk Perkapalan Malaysia bagi merancak industri perkapalan nasional.
Pelan induk ini bukan sahaja untuk memantapkan daya saing industri tempatan, tetapi juga menambah baik infrastruktur di pelabuhan sedia ada.
"Kita akan mantapkan perhubungan antara pelabuhan dalam negara bagi memastikan industri logistik terus rancak.
"Kerajaan juga sambut baik inisiatif yang digerakkan kerajaan China dalam 'laluan sutera maritim' yang mana kita akan wujudkan sekutu pelabuhan dengan beberapa pelabuhan penting di China," katanya.
Dalam majlis sama, Liow turut menyampaikan enam anugerah kepada penerima yang telah memberi sumbangan dalam sektor maritim Malaysia.
Antara anugerah yang disampaikan beliau ialah Anugerah Pusat Latihan Maritim Terbaik, Akademi Laut Malaysia (ALAM), Anugerah Syarikat Kapal Terbaik, Sealink Shipyard Sdn Bhd, Anugerah Pelabuhan Terbaik, Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd, dan Anugerah Syarikat Perkapalan Terbaik, MISC Berhad.
Selain itu, Anugerah Perkasa Maritim diberikan kepada Jasa Merin (Malaysia) Sdn Bhd manakala Anugerah Tokoh Pelaut Kebangsaan diberikan kepada Datuk Kapten Ahmad Suffian @ Qurnain Abdul Rashid.
#Liow Tiong Lai #maritim #perkapalan
;