Tambah baik SOP bomba selepas kajian selesai - Zuraida

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 16, 2018 13:12 MYT
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga akan mengkaji beberapa perkara melibatkan insentif anggota bomba seperti elaun kritikal. - Gambar fail
Sebarang penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) menyelamat melibatkan air deras dan waktu malam hanya akan dilakukan selepas kajian jawatankuasa berkecuali yang dilantik kerajaan selesai.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata jawatankuasa yang dianggotai profesional, badan bukan kerajaan dan pakar berkaitan akan memberi laporan pasca tragedi enam anggota bomba maut kepada kementerian.
“Mereka ini berperanan untuk mendapatkan maklumat, fakta, keterangan dan penjelasan tepat mengenai insiden berkenaan dan mereka akan lihat sama ada wujud keperluan untuk tambah baik SOP atau kaji semula,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) yang bertanya mengenai langkah kementerian untuk menambah baik SOP operasi menyelamat melibatkan air deras dan pada waktu malam.
Berkenaan langkah menjaga kebajikan keluarga anggota bomba yang terkorban, Zuraida berkata kerajaan melalui mesyuarat Kabinet yang lepas bersetuju memberi sumbangan RM20,000 kepada setiap keluarga mangsa.
Selain itu, kementerian juga akan mengkaji beberapa perkara melibatkan insentif anggota bomba seperti elaun kritikal.
Pada 3 Oktober lepas, enam anggota bomba daripada Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor terkorban ketika menjalankan usaha mencari dan menyelamat seorang remaja di kawasan lombong di Puchong, Selangor.
#air #bomba #Dewan Rakyat #elaun #insentif #Kajian #lemas #malam #PPDA #SOP #Zuraida Kamaruddin
;