Tambah baik sistem HIDE, masukkan data pola tingkah laku masyarakat dan maklumat lapangan - Dr Malina Osman

Afiezy Azaman
Mei 10, 2021 12:34 MYT
Menurut Dr Malina Osman, data berkaitan pola tingkah laku masyarakat di lapangan dapat memberikan gambaran sebenar serta maklumat tepat mengenai apa yang berlaku. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) boleh ditambah baik dengan mewujudkan data berkaitan pola tingkah laku masyarakat di lapangan.
Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr Malina Osman, data berkenaan dapat memberikan gambaran sebenar serta maklumat tepat mengenai apa yang berlaku di lapangan.
Beliau berkata, sekiranya penambahbaikan ini boleh dilakukan, ia akan menjadikan sistem HIDE alat kawalan wabak COVID-19 yang lebih efisien.
“Saya berpendapat di tempat-tempat awam kebanyakannya ada kamera litar tertutup (CCTV) yang dapat melihat tingkah laku masyarakat di luar.
“Jika boleh dilaksanakan, kita dapat mewujudkan badan tertentu yang memantau pola tingkah laku masyarakat yang dapat memberi gambaran apa sebenarnya yang berlaku di lapangan sekali gus memberikan maklumat yang lebih tepat,” katanya dalam temu bual bersama AWANI Pagi, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Dr. Malina juga melihat terdapat segelintir masyarakat yang skeptikal dan beranggapan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah rekaan.
Justeru itu, beliau mencadangkan agar maklumat di pusat kuarantin, rawatan di hospital dan ujian calitan diterjemahkan dalam bentuk yang lebih telus agar dapat meningkatkan kesedaran masyarakat yang lebih tinggi.
“Jika kita dapat terjemahkan dalam bentuk yang lebih telus apa sebenarnya yang berlaku di lapangan disamping kenal pasti tempat-tempat berisko, ini boleh meningkatkan kesedaran orang awam dengan lebih lagi,” ujarnya.
#CCTV #Kementerian Kesihatan #kesihatan #HIDE #pola tingkah laku #Universiti Putra Malaysia #Prof Madya Dr Malina Osman #COVID-19
;