Tambah baik PWM, tidak perlu tinggal gaji minimum - MTEM
Bernama
Julai 21, 2023 06:30 MYT
Julai 21, 2023 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam jangka masa panjang perlu menambah baik Model Gaji Progresif (PWM) serta tidak perlu meninggalkan sistem gaji minimum sedia ada, kata Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).
Pengerusinya Norsyahrin Hamidon dalam kenyataan berkata kerajaan seharusnya menetapkan matlamat yang jelas untuk memastikan majoriti pekerja akhirnya mendapat gaji yang melebihi gaji kehidupan wajar.
"Sebagai contoh, kerajaan menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 menetapkan matlamat bahawa menjelang 2025 hanya 40 peratus isi rumah berada di bawah ambang gaji kehidupan wajar, dan menjelang 2030 hanya 10 peratus," katanya.
Beliau berkata dasar gaji minimum sedia ada perlu ditambah baik menggunakan pendekatan yang luas termasuk mengurangkan bilangan pekerja asing, menggalakkan penyatuan pekerja dan menggalakkan perundingan kolektif serta menetapkan semula dasar perindustrian dan pelaburan.
"Kami berpendapat gaji yang lebih tinggi boleh menjadi faktor yang paling penting dalam membentuk industri dan perdagangan kita daripada menjadi intensif buruh, teknologi rendah dan bergantung kepada pekerja asing," katanya.
Dalam pada itu, Norsyahrin berkata berdasarkan kajian Bank Negara dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), gaji kehidupan wajar dianggarkan sekitar RM2,600 sebulan bagi dewasa bujang di Lembah Klang namun BelanjawanKu KWSP mencadangkan kira-kira RM2,300 sebulan pada tahun ini.
Beliau juga berkata BelanjawanKu KWSP mencadangkan purata gaji kehidupan wajar pasangan suami isteri dan dua anak ialah kira-kira RM6,000, namun menurut data median isi rumah Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), kira-kira 51 peratus isi rumah berpendapatan di bawah RM6,000.
-- BERNAMA