Tambah baik proses sedia kertas soalan elak kebocoran

Bernama
September 12, 2014 00:30 MYT
Kementerian perlu mencari pendekatan lebih berkesan ke arah memperketat prosedur dan kawalan dalam penyediaan soalan sehingga ke dewan peperiksaan. - Gambar Fail
Kementerian Pendidikan diharap membuat penambahbaikan terhadap mekanisme penyediaan soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di masa depan, termasuk memberi penekanan kepada aspek integriti bagi mengelak kebocoran.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata kementerian juga perlu mencari pendekatan lebih berkesan ke arah memperketat prosedur dan kawalan dalam penyediaan soalan sehingga ke dewan peperiksaan.
Beliau mengulas insiden kebocoran kertas peperiksaan Sains 018, 028, 038 dan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 bagi UPSR 2014 yang memaksa ia diadakan pada tarikh baharu iaitu 30 Sept.
"Sebarang hasil siasatan yang diperoleh nanti boleh dijadikan panduan kepada Kementerian Pendidikan untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam soal pengendalian kertas peperiksaan," katanya kepada Bernama.
Alimuddin menarik perhatian bahawa proses penyediaan kertas peperiksaan membabitkan pelbagai peringkat, dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi engenal pasti punca sebenar kebocoran.
Beliau berkata proses itu, secara amnya, bermula dengan penyediaan soalan seterusnya percetakan diikuti membungkus kertas soalan yang kemudian disimpan di bilik kebal sebelum dikeluarkan untuk dihantar ke pusat peperiksaan.
"Proses ini sudah pastinya membabitkan banyak pihak yang menuntut siasatan rapi dilakukan di setiap bahagian. Oleh itu, tidak adil untuk orang ramai membuat tuduhan melulu (siapa yang bertanggungjawab) selagi tiada bukti sahih," katanya.
Sementara itu, Presiden Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab membocorkan kandungan kertas soalan berkenaan.
"Jika tidak, kepercayaan masyarakat terhadap pengendalian peperiksaan umum akan terjejas," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Mohammad Fazril Mohd Saleh berkata membocorkan soalan peperiksaan awam adalah suatu tindakan khianat terhadap prinsip pendidikan.
"PKPIM mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab ini," katanya sambil menggesa pihak berwajib menyiasat insiden itu secara serius demi maruah dan masa depan pendidikan negara.
#Alimuddin #Kementerian Pendidikan #UPSR