Tambah baik kualiti hidup rakyat
Sinar Harian
Ogos 19, 2018 12:54 MYT
Ogos 19, 2018 12:54 MYT
Kebanyakan pendekatan atau dasar baharu yang ditekankan serta dibuat kerajaan dilihat lebih menjurus kepada penambahbaikan kualiti hidup rakyat, bagi merealisasikan janji 100 hari pemerintahan dipersetujui oleh semua parti komponen dalam PH.
Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Shekh Alsagoff berkata, antara perkara yang dilaksanakan seperti penghapusan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), penyemakan semula dan pemberhentian beberapa projek mega melibatkan kos tanggungan besar serta penguatkuasaan strategi pembasmian rasuah dalam kalangan pemimpin kerajaan dan politik.
Selain itu, katanya, kerajaan juga melakukan pengambilalihan atau pertukaran portfolio pegawai utama dalam agensi berkaitan kerajaan (GLC) dan beberapa kementerian serta agensi-agensi kerajaan, pemerkasaan media dan terbaru ialah penambahbaikan Dasar Ekonomi Baharu.
"Sudah pasti pengenalan kepada dasar-dasar baru ini akan memberi implikasi terhadap dasar kerajaan sedia ada termasuk dari segi kewangan, pengurusan sumber dan perolehan serta faedahnya kepada rakyat.
"Penumpuan kerajaan PH dalam beberapa sektor kritikal seperti ekonomi, pelaburan, pendidikan dan sebagainya yang memberi kesan terhadap sosioekonomi rakyat serta pemerkasaan bidang-bidang ekonomi negara menjadi agenda penting untuk memastikan kestabilan politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negara ini," katanya.
Syed Agil berpandangan, masih terlalu awal kerajaan PH hendak melaksanakan semua janji manifesto memandangkan iklim ekonomi di negara ini masih belum pulih.
Apatah lagi, katanya, Malaysia menanggung kesan akibat persaingan dagangan Amerika Syarikat (AS) - China yang banyak menjejaskan pemasaran dagangan dua hala di antara Malaysia dengan kedua-dua negara tersebut.
#Dr Syed Agil Shekh Alsagoff
#GST
#kerajaan
#Pakatan Harapan
#pemerintahan
#Universiti Putra Malaysia
#UPM