Tambah baik kebajikan pekerja sektor tidak formal akan terus jadi keutamaan kerajaan

Bernama
Februari 26, 2024 06:15 MYT
Kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta untuk geran padanan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri menerusi Perkeso. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Menambah baik kebajikan pekerja sektor tidak formal akan terus menjadi antara keutamaan kerajaan, seperti yang diketengahkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, Datuk Zunika Mohamed berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta untuk geran padanan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Selain itu, program i-Saraan secara sukarela di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditambah baik dengan meningkatkan nilai caruman padanan kepada maksimum RM500 setahun untuk setiap individu," katanya dalam ucapan pada pelancaran laporan Pekerjaan Sektor Tidak Formal di Malaysia: Trend, Cabaran dan Peluang untuk Pembaharuan di sini pada Isnin.
Laporan itu merupakan usaha kerjasama antara Kementerian Ekonomi dan Kumpulan Bank Dunia melalui Reimbursable Advisory Services, yang mengkaji analisis skala dan trend pekerjaan sektor tidak formal serta meneliti peraturan, dasar dan programnya.
Zunika berkata, laporan itu menekankan bahawa pekerjaan sektor tidak formal secara keseluruhannya merosot kepada 26.8 peratus pada 2022 daripada 38.2 peratus pada 2009.
"Bagaimanapun, dengan adanya pendigitalan dan impak yang tidak dijangka daripada pandemik COVID-19, sifat pekerjaan telah berubah dan seterusnya memacu pertumbuhan pekerjaan gig," katanya.
Beliau berkata, laporan itu menekankan bahawa peruntukan sedia ada untuk pekerja yang bekerja secara tidak formal dalam konteks simpanan persaraan dan perlindungan terhadap risiko kesihatan dan kecederaan masih tidak dapat memenuhi keperluan mereka.
"Ketidakupayaan atau ketidaksediaan pekerja membuat caruman dalam skim insurans sosial menekankan lagi perbezaan dari segi perlindungan sosial untuk pekerja sektor tidak formal.
"Realiti yang nyata semasa kami mengkaji dapatan itu ialah pekerja yang bekerja dalam sektor tidak formal bergelut dengan keadaan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dan guna tenaga tidak penuh berkaitan masa yang tinggi berbanding mereka yang bekerja dalam sektor formal," katanya.
Memetik laporan itu, Zunika berkata, kadar guna tenaga tidak penuh pekerja sektor formal naik kepada 26.5 peratus pada 2020 daripada 16.2 peratus pada 2010.
Beliau berkata sebaliknya, kadar guna tenaga tidak penuh pekerja sektor tidak formal meningkat kepada 73.2 peratus pada 2020 daripada 23.7 peratus pada 2010.
Katanya kerajaan akan memperluas program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan pekerja sektor tidak formal.
Sementara itu, pada sidang media, Zunika berkata, kerajaan akan turut menjalankan penyelidikan tambahan dengan Bank Dunia untuk mencadangkan strategi bagi membantu sektor tidak formal menghadapi masalah dan cabaran, dan strategi ini akan dimasukkan dalam RMK13.
"Kajian itu meliputi isu-isu seperti risiko berada dalam pekerjaan berisiko tinggi, pendapatan yang mudah terjejas, akses kepada perkhidmatan kewangan dan cabaran dalam pembangunan kerjaya.
"Cabaran dalam pekerjaan ini memerlukan strategi yang komprehensif untuk menangani isu-isu yang berkaitan," katanya. - BERNAMA
#Kerajaan Perpaduan #ekonomi gig #sektor tidak formal #Kementerian Ekonomi
;