Tambah aset, tingkat prasarana pasukan keselamatan di Esszone

Bernama
Ogos 5, 2014 12:45 MYT
Penambahan aset dan naik taraf prasarana anggota pasukan keselamatan yang menjadi keutamaan dalam meningkatkan kawalan keselamatan di Esszone. Gambar Fail
Penambahan aset dan dan naik taraf prasarana anggota pasukan keselamatan menjadi keutamaan dalam meningkatkan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata ia sejajar dengan penambahan jumlah anggota pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan berkenaan.
Katanya aset yang memerlukan tambahan adalah kapal dan bot untuk kegunaan anggota pasukan melakukan kawalan keselamatan di kawasan perairan.
"Pembelian kapal dan bot baharu sudah dilakukan dan kini dalam proses tender serta berjalan lancar," katanya kepada pemberita selepas melawat kem tentera di Pulau Berhala dekat sini hari ini.
Dalam lawatan kerja itu, Shahidan turut melawat pos kawalan di Tundon Bohangin, Kinabatangan.
Kata beliau bagi kemudahan prasarana, tumpuan diberikan untuk membaik pulih jeti pos kawalan pasukan keselamatan di pulau yang akan dilakukan dengan segera.
Shahidan juga berkata pos kawalan pasukan keselamatan di Tundon Bohangin memerlukan tapak baharu kerana tapak sekarang adalah disewa daripada penduduk kampung.
#aset #ESSZONE #Kinabatangan #Shahidan Kassim