Tamatkan PKP? Belum masanya, strategi perlu diperhalusi - Akademi Perubatan Malaysia
Harits Asyraf Hasnan
April 19, 2020 13:10 MYT
April 19, 2020 13:10 MYT
Penurunan kes positif COVID-19 sejak kebelakangan ini bukanlah indikasi yang menjadi penentu kepada penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini kerana, kata Master Akademi Perubatan Malaysia (AMM), Prof Dr Rosmawati Mohamed, pelbagai faktor perlu diperhalusi sebelum PKP ditamatkan.
“Saya fikir, strategi keluar untuk menamatkan PKP ini bukan sahaja berdasarkan kes baharu tetapi juga kes yang masih dirawat.
“Itu menjadi indikator kepada strategi keluar untuk kita mengetahui adakah PKP perlu diteruskan atau tidak.
“Kita sekarang bukan sahaja bercakap berkenaan melandaikan lengkungan iaitu untuk mengagihkan kes ke satu tempoh masa yang panjang (distribution of cases), tetapi juga hospital atau sistem kesihatan yang tidak lumpuh,” katanya kepada Astro AWANI.
Menurut beliau, amat sukar untuk sesebuah negara itu untuk merekodkan sifar kes setiap hari tanpa penggunaan vaksin.
Justeru, amalan penjarakan sosial yang dilihat paling berkesan ketika ini dijangka bakal mengambil masa antara satu hingga dua tahun.
“Kita tak akan dapat sifar kes atau yang tidak ada transmisi kerana ia hanya boleh berlaku dalam dua perkara.
“Sama ada ramai orang yang sudah mengalami jangkitan COVID-19, sehingga terdapat kekebalan imuniti atau herd immunity atau kedua apabila vaksin ada dan vaksin ini telah diambil oleh ramai penduduk di Malaysia.
“Ini tidak akan berlaku lagi kerana vaksin memang tidak terdapat sekarang. Kalau ia terdapat, mungkin akan ambil masa lama sebelum dapat dibuat sebab ramai yang memerlukannya, dan ini mungkin ambil masa satu hingga dua tahun.
“Kita perlu ingat bahawa kebiasaan baharu ialah untuk kita tidak lakukan perhimpuanan dari segi apa-apa pun, sama ada di bazar Ramadan, semasa perayaan dalam banyak bulan lagi kerana ini adalah satu proses yang lama yang kita hadapi sekarang,” katanya.
Beliau pada masa sama turut menggariskan enam kritieria yang dikenal pasti dan perlu dipatuhi kerajaan sebelum PKP ditamatkan:
1. Penularan COVID19 adalah pada tahap rendah atau tanpa transmisi.
2. Keupayaan sistem kesihatan dan kesihatan awam untuk kesan, uji mengasingkan/kuarantin setiap kes dan mengesan setiap kontak.
3. Zon merah atau kawasan risiko jangkitan dikurangkan atau dihapuskan.
4. Langkah-langkah pencegahan seperti amalan penjarakan sosial dan mencuci tangan diteruskan dan dijadikan kebiasaan baru.
5. Mengurangkan risiko kes jangkitan yang diimport dari luar negara.
6. Masyarakat terlibat sepenuhnya untuk memahami dan menjalani kehidupan seharian di bawah keadaan kebiasaan baru.